PENYANYI dan pelakon popular Alvin Chong baru-baru ini telah mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa selepas merangkul Anugerah Persembahan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik – Digital menerusi lakonannya dalam drama bersiri She Was Pretty di Anugerah Televisyen Asia ke-27 (Asian Television Awards).
Diadakan secara langsung di Manila, Filipina pada tanggal 1 Disember lalu, ia tersenarai sebagai salah satu acara anugerah yang paling dinantikan di rantau ini.

Manakala, siri drama She Was Pretty lakonan Alvin adalah drama yang ditayangkan di platform digital Viu.
Ia merupakan versi Bahasa Malaysia yang diadaptasi daripada siri drama asal Korea dengan judul yang sama.
Ia menampilkan bintang-bintang popular Malaysia seperti Aiman Hakim Ridza, Diana Danielle dan juga Daniella Sya selain Alvin Chong sendiri.
Dalam drama tersebut Alvin memainkan watak sebagai Ashraff.
Ternyata lakonannya berjaya memberikan kesan sehingga memenangi anugerah dan mengalahkan pesaing-pesaingnya dari negara jiran berdekatan serta dari Malaysia juga.
Calon-calon lain bagi kategori tersebut adalah Giulio Parengkuan dari Indonesia melalui siri Pertaruhan The Series serta rakan senegara Izzue Islam menerusi drama Ganjil.
“Saya agak gementer sebenarnya sewaktu menerima tawaran She Was Pretty. Karakter yang saya perlu lakonkan agak berbeza dengan watak yang pernah saya bawa sebelum ini.
“Saya sedikit tertekan untuk membawakan watak Si Won sebab lakonannya sangat berkesan dan ramai menyukai karakternya dalam drama tersebut.
“Sebelum ini saya tidak pernah bertuah untuk dicalonkan dalam mana-mana anugerah. Terima kasih ATA dan Viu untuk pengiktirafan dan kepercayaan kepada saya,” katanya.
Anugerah berprestij yang mengiktiraf hasil kerja seni dunia televisyen rantau Asia ini merupakan acara tahunan dan kerap menyaksikan pencalonan nama-nama besar di benua Asia.

