Pemain sayap sensasi Mohamad Faisal Halim. FOTO FACEBOOK FAM

MALAYSIA merampas posisi pendahulu Kumpulan B saingan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022, selepas membenam Laos 5-0 pada perlawanan kedua di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, malam ini.

Pemain sayap sensasi Mohamad Faisal Halim, meneruskan rentak cemerlangnya apabila meledak dua gol menerusi tandukan pada babak kedua perlawanan, selepas pemain naturalisasi Sergio Aguero, meletakkan skuad Harimau Malaya di depan pada separuh masa pertama.

Pemain gantian Muhammad Haqimi Azim Rosli dan Stuart Wilkin, masing-masing melengkapkan kemenangan selesa pasukan negara, menyaksikan Malaysia bukan sekadar meraih tiga mata kedua, tetapi turut mengurangkan perbezaan gol dengan Vietnam di kedudukan kedua, yang kurang satu perlawanan.

Pada aksi dihadiri 29,961 penonton itu, Ketua Jurulatih negara Kim Pan Gon jelas mahu merehatkan skuad utamanya menjelang aksi berdepan Vietnam Selasa depan, apabila sebanyak lapan pertukaran dibuat dalam kesebelasan utama yang menewaskan Myanmar 1-0 pada aksi pembukaan Rabu lepas.

Hanya tiga pemain dikekalkan Pan Gon iaitu pemain pertahanan Sharul Nazeem Zulpakar serta dua tonggak pemain tengah Mohamad Faisal dan ketua pasukan Muhammad Safawi Rasid.

Situasi itu jelas menyaksikan pasukan negara bergelut mencari rentak permainan, apabila hanya berjaya membuat satu percubaan dalam 20 minit pertama, sebelum Aguero memecah kebuntuan gol apabila mudah menolak masuk hantaran lintang Mohd Nor Hakim Hassan dari sebelah kiri pada minit ke-29.

Aguero terlepas peluang keemasan untuk menggandakan kedudukan, selepas tolakannya yang menerima umpanan David Rowley, tinggi melewati palang pada minit ke-36.

Kesilapan pemain pertahanan lawan mengeluarkan bola hantaran Muhammad Safawi pada masa kecederaan babak pertama, hampir mengundang padah untuk gol kedua Malaysia, tetapi penjaga gol Keo-Oudone Souvannasangso berindak pantas untuk menepis bola yang sudah hampir menerjah jaring.

Keputusan Pan Gon membawa masuk beberapa pemain gantian secara berperingkat pada babak kedua jelas membuahkan hasil, apabila kehadiran mereka termasuk Brendan Gan dan seorang lagi pemain naturalisasi Lee Tuck, berjaya mengubah rentak permainan menjadi lebih efisien.

Keadaan itu membuka peluang kepada Mohamad Faisal untuk menanduk masuk dua gol masing-masing berpunca hantaran cantik Muhammad Safawi pada minit ke-65 dan Mohd Nor Hakim tiga minit kemudian, sekali gus  mengesahkan Malaysia untuk mengumpul tiga gol dalam kempen kejohanan.

Kesilapan pemain pertahanan Anantaza Siphongphan mengeluarkan bola, memberi peluang kepada Muhammad Haqimi untuk melepaskan rembatan kencang kaki kanan dari jarak dekat pada minit ke-77, sebelum Wilkin menjaringkan gol kelima menerusi rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-87.

Sementara itu, Singapura bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan 3-2 ke atas Myanmar, pada satu lagi aksi Kumpulan B di Stadium Jalan Besar, pada sebelah petang.

Myanmar bermula dengan baik di gelanggang lawan selepas mendahului pada minit ke-34 menerusi Maung Maung Lwin, namun kedudukan itu tidak kekal lama apabila Ilhan Fandi menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-45.

Perlawanan lebih menarik pada babak kedua apabila Shah Shahiran meletakkan Singapura di depan empat minit selepas rehat tetapi Myanmar bangkit untuk kembali mengikat kedudukan menerusi gol kedua peribadi Maung Lwin pada minit ke-66.

Shawal Anuar muncul wira Singapura apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-74 untuk menghadiahkan tiga mata pertama kepada pasukan.

Malaysia kini mengumpul enam mata untuk mendahului saingan kumpulan diikuti Vietnam di tempat kedua berkongsi tiga mata dengan Singapura di tangga ketiga, hanya dibezakan dengan jumlah jaringan manakala Myanmar dan Laos masing-masing di kedudukan kedua tercorot tanpa mata. – BERNAMA