
Oleh : Saiful Bahar.
- Sehari dua ini, heboh di media sosial mengenai Isu Menara KL (KL Tower) telah dijual senyap-senyap sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Isu ini juga dikaitkan dengan bekas Menteri Komunikasi dan Mutimedia, Tan Sri Annuar Musa, sebagai pihak yang terlibat dengan penjualan Menara KL.
- Ada tiga perkara utama mengenai isu ini iaitu
(i). Isu sama ada Menara KL dijual secara senyap-senyap ; atau
(ii). Konsesi (hak mengurus) Menara KL dijual kepada Hydroshoppe Sdn. Bhd. oleh Telekom Malaysia (TM) melalui anak syarikatnya Menara KL Sdn. Bhd. DAN,
(iii). Kononnya perniagaan mengurus Menara KL ini merupakan satu perniagaan yang menguntungkan, konsensinya telah dijual kepada pihak ketiga (Hydroshoppe).
PENJELASAN SEBENAR.
- Adalah tidak benar Menara KL telah dijual kepada pihak ketiga iaitu Hydroshoppe secara diam-diam oleh kerajaan ataupun TM. Yang hanya berpindah milik ialah HAK PENGURUSAN KL TOWER (Concession to Operate and Maintain KL Tower).
- Perlu diperjelaskan di sini bahawa Menara KL masih lagi milik kerajaan Malaysia. TM sebenarnya telah membuat keputusan tidak lagi mahu memperbaharui Concession to Operate and Maintain Menara KL setelah konsesi mereka tamat pada penghujung tahun 2019.
- Oleh kerana TM telah mengambil keputusan ini, maka TM telah menulis surat kepada UKAS (Unit Kerjasama Awam Swasta, Malaysia di bawah Jabatan Perdana Menteri) iaitu badan yang dipertanggungjawabkan berkenaan dengan konsesi bagi pihak kerajaan, memaklumkan perkara tersebut.
- UKAS pula, telah membuka peluang kepada syarikat tempatan untuk membuat bidaan bagi mengambil alih *Concession to Operate and Maintain Menara KL. Daripada makluman yang diterima, lima syarikat telah masuk membuat bidaan untuk mengambil alih konsesi ini.
- Kementerian Komunikasi dan Multimedia membuat penilaian terhadap lima syarikat tersebut melalui satu jawatankuasa penilaian yang ditubuhkan (due deligence carried out) dan menghantar laporan penuh kepada UKAS.
- UKAS pula melalui Menteri Ekonomi (JPM) ketika itu, Datuk Seri Mustapa Mohamad memperakukan cadangan pertukaran saham yang dimiliki oleh TM dalam Menara KL kepada Hydroshoppe Sdn. Bhd. setelah mesyuarat JKAS membentangkan laporan penuh pada 3 Ogos 2022.
Ini dilakukan supaya pengurusan konsesi Menara KL dapat diteruskan tanpa gangguan dan kepentingan kerajaan, dalam Perjanjian Konsesi Menara KL tidak terjejas. Cadangan tersebut dibawa oleh UKAS kepada Menteri Ekonomi.
Menteri Ekonomi bersetuju dengan cadangan tersebut dan mengemukakan cadangan ini kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada ketika itu untuk kelulusan. Perdana Menteri bersetuju meluluskan dan memperakui cadangan tersebut.
- Segala perjanjian serta pertukaran saham telah dimeterai dan diselesaikan pada bulan Oktober 2022. Sekiranya ini tidak dilakukan, kerajaan Malaysia perlu membayar TM sebanyak RM500,000 ringgit sebulan ataupun RM6 juta setahun untuk Operate dan Maintain Menara KL.
- Dengan penjelasan ini, adalah amat jelas bahawa Annuar Musa sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia pada ketika itu, tidak mempunyai kuasa untuk membuat sebarang keputusan berkenaan dengan konsesi Menara KL.
Tomahan dan tuduhan yang dilemparkan kepada Annuar Musa bahawa Menara KL telah dijual secara senyap-senyap adalah tidak berasas dan berniat jahat.
Penulis adalah penganalisis politik dan sosial yang mempunyai pengalaman luas dalam hal ehwal pentadbiran kerajaan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram