KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sedia mengubah dasar sedia ada termasuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara. GAMBAR: Abd Razak Aid

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) bersedia mengubah dasar termasuk memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara.

Ia susulan kebimbangan rakyat berhubung kenaikan kes COVID-19 di China serta sekatan yang telah dibuat beberapa negara lain terhadap pengembara dari China.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, beliau memberi perhatian serius terhadap kebimbangan itu dan memberi jaminan perkara berkenaan merupakan keutamaan KKM ketika ini.

Sehubungan itu, Dr Zaliha memaklumkan, KKM akan meningkatkan kaedah pembendungan penularan jangkitan COVID-19 dalam negara serta kesiapsiagaan bagi berdepan sebarang kemungkinan peningkatan kes COVID-19.

Menurut beliau, pelanjutan Malaysia sebagai ‘Kawasan Tempatan Jangkitan’ sehingga Jun 2023 memberi ruang kepada KKM mengambil sebarang tindakan segera apabila diperlukan.

“Ini termasuk mengubah dasar sedia ada terutama penjagaan kesihatan pengurusan pandemik COVID-19 di sempadan negara serta memperketatkan SOP pemeriksaan kesihatan di mana-mana pintu masuk negara.

“Ia akan dilaksanakan jika perlu, bukan sahaja kepada pengunjung atau pengembara sama ada warganegara Malaysia atau tidak yang tiba dari China bahkan dari semua negara di dunia.

“KKM juga sentiasa bersiap siaga untuk meningkatkan kapasiti kesihatan bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca artikel berkaitan: KKM perkukuh inisiatif diambil HTAR – Dr Zaliha

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, KKM sentiasa berhubung rapat dan mengadakan perbincangan dari semasa ke semasa bersama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), China serta rakan-rakan negara ASEAN.

Jelas beliau, kementerian itu juga sentiasa mengambil polisi berpandukan dan berasaskan sains serta data yang tepat.

“Berdasarkan laporan, pihak WHO telah mengadakan mesyuarat dengan China bagi urusan perkongsian data terkini dan ia akan diteruskan bagi mengetahui secara terperinci maklumat, situasi dan pengurusan COVID-19 di negara itu.

“Berdasarkan maklumat yang dilaporkan China kepada pihak WHO, varian dan subvarian yang ada di China juga telah dikesan di Malaysia.

“Merujuk kepada maklumat sedia ada, vaksin COVID-19 berkesan bagi memberi perlindungan daripada mendapat gejala yang teruk akibat jangkitan virus COVID-19 dan ia sepatutnya mengurangkan kemasukan ke hospital,” katanya.

Dr Zaliha berkata tidak lama lagi vaksin bivalen juga akan dibekalkan kepada Malaysia berikutan kelulusan pendaftaran bersyarat yang diberikan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah baru-baru ini.

“Pengumuman akan dibuat selepas bekalan diterima bersama dengan kriteria kelayakan untuk mendapatkannya.

“Sehubungan itu, KKM menggesa orang ramai yang telah menerima dos penggalak pertama yang melebihi tempoh enam bulan agar mendapatkan dos penggalak kedua serta tidak menunggu vaksin bivalen.

“Ini kerana vaksin monovalen sedia ada masih sangat berkesan untuk mengurangkan gejala serius dan kes kematian,” katanya.

Sebelum ini, Malaysia menetapkan pengembara yang tiba dari luar negara termasuk China perlu melalui saringan demam di pintu masuk antarabangsa (PMA) manakala sampel air kumbahan pesawat dari republik itu juga akan diambil.

Sampel akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian rantai polimerase (PCR) dan seterusnya untuk penjujukan genom sekiranya positif COVID-19.

KKM juga mempertimbangkan keperluan vaksinasi penuh bagi pengembara dari luar, termasuk China sebagai syarat untuk mereka dibenarkan memasuki negara ini.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram