KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) akan melaksanakan siasatan bebas berhubung insiden seorang jurulatih didapati menampar dua pemain remaja perempuan dalam satu kejohanan bola tampar, baru-baru ini.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dalam ciapan di Twitter.
Menurut Hannah, siasatan itu bagi mengenal pasti sama ada cara latihan kekerasan seperti pada klip video tular itu telah lama diamalkan dalam pasukan bola tampar berkenaan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Pendidikan (KPM) yang akan meneruskan siasatan bagi tujuan tindakan tatatertib dan mengadakan sesi perjumpaan dengan ibu bapa murid yang terlibat.
“Terima kasih KPM. Setelah berbincang dengan Menteri Fadhlina Sidek, KBS akan mengadakan siasatan bebas untuk mengenal pasti sama ada cara melatih menggunakan kekerasan sebegini telah lama diamalkan dalam pasukan bola tampar ini.
“Kita mesti belajar, menambah baik dan memastikan perkara ini tidak berulang,” katanya dalam ciapan tersebut.
Sementara itu, dalam ciapan berasingan, Hannah meminta rakyat Malaysia berhenti menormalisasikan penderaan fizikal sebagai cara untuk pematuhan tingkah laku.
Baca artikel berkaitan: Tampar pemain remaja perempuan: KPM teruskan siasatan tindakan tatatertib
“Baca komen mengenai insiden tampar oleh jurulatih bola tampar mengatakan salah untuk menampar perempuan.
“Menampar lelaki juga salah. Malah, menampar sesiapa adalah salah.
“Rakyat Malaysia mesti berhenti menormalisasi penderaan fizikal sebagai cara untuk pematuhan tingkah laku – salah pada kanak-kanak, atlet, pasangan atau pembantu rumah!,” tegasnya.
Terdahulu, KPM memaklumkan akan meneruskan siasatan bagi tujuan tindakan tatatertib berhubung kejadian tersebut.
KPM dalam kenyataan berkata, tindakan sewajarnya akan diambil jika didapati bersalah berhubung klip video yang tular di media sosial itu.
Menurut KPM, satu sesi perjumpaan dengan ibu bapa murid yang terlibat juga akan dilaksanakan bagi mendapatkan maklumat lanjut berkaitan laporan tersebut.
Tular video memaparkan tindakan seorang jurulatih sebuah pasukan bola tampar menampar pemain remaja perempuan. Insiden itu dipercayai berlaku semasa Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor yang diadakan pada 14 hingga 16 Disember lepas.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

