Akta Kerja 1955 tidak sesuai untuk diguna pakai oleh penggiat seni, Seniman mohon hapuskan lantikan politik dalam FINAS

Anna Mohamed
Anna Mohamed
Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital. Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014. Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

Dari Penulis

PERSATUAN Seniman Malaysia (Seniman) menyifatkan kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS), Prof Dr Md Nasir Ibrahim berkenaan penggiat seni harus merujuk peruntukan Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 bagi had kerja lebih masa dalam penggambaran adalah jawapan yang amat dangkal sekali dan bagai melepaskan batuk di tangga.

Isu terbabit dibangkitkan oleh aktor Sharnaaz Ahmad yang menyuarakan rasa tidak berang apabila anak seni terutamanya pelakon ‘dilenjan’ bekerja lebih 20 jam di lokasi penggambaran, baru-baru ini.

Menurut Seniman, akta terbabit hanya relevan membabitkan semua sektor pekerjaan kecuali sektor industri kreatif yang mana pekerjaan di dalam industri tidak sesuai diguna pakai dan cara bekerja serta masa bekerja penggiat seni amat berbeza berbanding sektor-sektor lain.

“Bayangkan pelakon, kru, pengarah dan kategori seni yang sewaktu dengannya menggunakan Akta Kerja 1955. Ini bermakna gaji minimum sebanyak RM1,500 yang diumumkan kerajaan, had masa bekerja lapan jam yang digunakan waktu pejabat, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) secara wajib dicarumkan oleh majikan.

“Apabila secara dasarnya merujuk akta itu yang disarankan oleh FINAS secara logik akalnya boleh terpakai kepada penggiat seni yang membuat penggambaran dan persembahan? Jadi, apa gunanya Seniman berjuang untuk mendapatkan Perkeso di bawah Skim Pekerjaan Sendiri kategori penggiat seni selama berpuluh tahun?

“Berjuang untuk mendapatkan standard kontrak yang adil supaya KWSP dapat dicarumkan, berjuang bagi mewujudkan Akta Industri Kreatif Malaysia seperti mana nelayan mempunyai akta mereka sendiri di bawah Akta Persatuan Nelayan 1971? Dalam isu ini, adakah nelayan juga perlu merujuk Akta Kerja 1955 bagi had kerja lebih masa atau gaji minimum?,” ujar Seniman dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Tegas Seniman lagi, industri kreatif merupakan bidang kerjaya yang berbeza sekaligus agak mustahil untuk mengikuti saranan FINAS yang meminta penggiat seni merujuk Akta Kerja 1955 bagi menyelesaikan masalah had kerja lebih masa dilihat sangat tidak relevan dan tidak masuk akal.

“Jadi, apa fungsi FINAS? FINAS diwujudkan untuk membantu industri kreatif bagi melaksanakan hala tuju lebih jelas, suasana yang baik dan mencipta dasar ekosistem asas dengan kerjasama persatuan-persatuan seni sebagai panduan kepada pemain-pemain industri dan penggiat seni Malaysia.

“CEO FINAS bagai ‘lepas tangan’ dan tidak faham akta FINAS itu sendiri di bawah Akta 244 Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981 (Pindaan) 2013. Beliau hanya merujuk akta-akta agensi dan kementerian yang lain untuk menyelesaikan isu industri, Ini amat mengecewakan!.

“Sebagai seorang CEO, beliau sepatutnya lebih arif menyelaraskan isu-isu industri merujuk akta-akta yang berkaitan dan bertindih supaya ia dapat diselaraskan selari dengan Akta 244 FINAS bagi mempermudahkan FINAS menyelesaikan isu-isu berbangkit dan bertindih yang membabitkan industri tetapi malangnya perkara itu tidak berlaku,” jelasnya.

Sehubungan itu, Seniman turut meminta campur tangan daripada pihak Menteri Komunikasi & Digital, Fahmi Fadzil bagi mengkaji semula perlantikan CEO FINAS secara lantikan politik selama dua tahun.

“Melalui pengalaman Seniman selama ini, tidak pernah dapat menyelesaikan masalah industri mengikut bidang kuasa FINAS. Malah, ia lebih memberikan kesan buruk apabila sesetengah CEO yang dilantik secara politik menyalah gunakan kuasa mereka di dalam pentadbiran FINAS seperti menggunakan kuasa menurunkan pangkat pegawai, mengenakan tindakan tatatertib dan menukarkan pegawai ke jabatan yang tidak bersesuaian dengan tanpa sebab.

“Apabila salah guna kuasa ini diketahui umum, CEO bagaikan ayam lepas tangan bercirit. Malah, ada CEO tidak tahu mengenai industri kreatif tetapi dilantik sebagai CEO. Ini sangat memalukan!

“Ia memberi kesan yang teruk kepada pentadbiran agensi kerajaan dengan sikap salah guna kuasa fan tidak mempunyai pengalaman yang luas mengenai industri sekaligus akan mencacat dan melambatkan kelancaran pentadbiran FINAS itu sendiri.

“Seniman mencadangkan supaya pelantikan CEO FINAS secara lantikan politik perlu dihentikan. Pelantikan CEO atau Ketua Pengarah harus berlaku secara semula jadi di peringkat dalaman FINAS itu sendiri di mana pegawai, pengarah atau timbalan ketua pengarah yang layak bagi mengelak masalah birokrasi serta ketirisan pentadbiran.

“Sekiranya masalah ini tidak ditangani awal nescaya, masalah yang diselubungi penggiat-penggiat seni di dalam industri kreatif negara selama puluhan tahun ini tidak akan dapat diselesai sampai bila-bila,” katanya.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Amad pindah ke Kuantan… Saerah sedih, tak tidur malam

Hati ibu mana tidak sedih apabila terpaksa berpisah dengan anak. Ibu serta pengurus penyanyi remaja, Amad Dayyan iaitu Saerah Taruddin...

More Articles Like This