PERHIMPUNAN Agung UMNO 2022 (PAU) akan berlangsung minggu depan akan menjadi medan perbincangan terhangat kepada ahli-ahli parti itu selepas Barisan Nasional terutamanya UMNO menerima tamparan hebat atas kekalahan teruk dalam pilihan raya lepas.
Ketua Penerangannya Isham Jalil memaklumkan selain itu, pelbagai perkara berbangkit akan dibincangkan termasuk kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, pemilihan parti dan imej sebagai sebuah parti yang korup.
“Kita akan bincang mengenai pemilihan UMNO kerana dalam waktu kritikal ini, keadaan ekonomi tidak elok, kita berdepan risiko kerajaan bertukar lagi dan sekiranya UMNO tak stabil, banyak perkara akan terjadi.
“Jika tumbang kerajaan, berlaku lagi ketidakstabilan politik maka pelabur tak akan masuk.
“Apa akan jadi pada negara kita, jadi sebab itu saya kata pemilihan UMNO ini bukan hanya memberi kesan kepada Umno sahaja sebaliknya seluruh negara terkesan dan menentukan apa akan jadi pada negara ini,” katanya, lapor Bernama hari ini.
PAU 2022 sebelum ini dijadualkan dari 21 hingga 24 Dis 2022 namun ditangguhkan ke 11 hingga 14 Jan 2023.
Semalam, Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata dia tidak menolak prospek Perikatan Nasional kembali berkuasa selepas menjalin pakatan baru.
BERITA BERKAITAN Presiden UMNO beri bayangan pemilihan sebabkan perpecahan – Penganalisis
Gabungan itu juga tidak menolak bekerjasama dengan BN, yang Pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi memilih untuk bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan bukannya PN selepas pilihan raya umum lalu mengakibatkan kebuntuan politik.
Ini susulan dakwaan terdapat rancangan baru yang digembar-gemburkan sebagai Langkah London untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam perkembangan berkaitan, Hisham juga berkata UMNO perlu berusaha membetulkan stigma masyarakat terhadap parti itu yang sering didakwa mengamalkan rasuah sekiranya mahu bangkit semula selepas berdepan prestasi buruk pada PRU15.
“Orang kita tak kira dia ideologi apa dia tetap tidak suka rasuah, dia sukakan parti yang bersih.
“Jadi untuk bergerak ke hadapan, kita kena selesaikan dulu perkara ini kerana selagi tidak diselesaikan, stigma yang kata UMNO ni parti rasuah tak boleh dibuang,” katanya seperti dipetik laporan Bernama.
Menurutnya lagi, dalam usaha membersihkan Malaysia daripada perbuatan rasuah, ‘orang baik’ perlu melibatkan diri dalam politik.
Kata Hisham, jika dunia politik terus dipenuhi ‘orang jahat,’ Malaysia bakal berdepan pelbagai masalah kerana dasar negara akan ditentukan sendiri oleh individu yang mengamalkan perbuatan terkutuk itu.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

