TIADA satu parti pun berjaya memperoleh lebih 50 peratus daripada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Setiausaha Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun.
Masidi turut menegaskan bahawa dakwaan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Bung Moktar Radin bahawa Datuk Seri Hajiji Noor tidak lagi mempunyai locus standi tidak benar.
Jelas Masidi, perkara itu boleh dilihat menerusi Fasal 6(7) Perlembagaan Negeri Sabah yang dipetik Bung Moktar semalam.
Tegasnya, pelantikan Hajiji sebagai Ketua Menteri merupakan keputusan Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin berdasarkan Fasal 6(3) dengan mengenepikan Fasal 6(7) yang tidak berkaitan dengan isu tersebut.
“Selepas Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16), TYT akan memilih Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pada hemat beliau akan mendapat kepercayaan majoriti ADUN berdasarkan Fasal 6(3).
“Fasal 6(7) pula menyatakan apabila parti politik memenangi majoriti kerusi dalam DUN, pemimpin parti itu dianggap menguasai majoriti.
“Pada PRN 2020, tiada satu pun parti politik memenangi lebih 50% daripada 73 kerusi yang dipertandingkan.
“Oleh itu, berikutan tafsiran Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan terhadap Perkara 6(7) (kes Tan Sri Musa Aman dan Juhar), TYT pertama kali memerhatikan bahawa tiada satu parti politik pun memenangi lebih daripada 50% kerusi DUN dan dengan itu mengenepikan Perkara 6(7) kerana ia tidak terpakai.
“TYT kemudiannya menggunakan kuasanya secara tepat di bawah Perkara 6(3) dan melantik Hajiji sebagai Ketua Menteri.
“Oleh itu, Hajiji secara perlembagaan dan sahnya mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri mengikut undang-undang dan mandat demokrasi rakyat Sabah,” ujar Masid memetik laporan Awani.
Baca lagi: Hajiji hilang sokongan, perlu letak jawatan serta merta – ADUN KDM
Mengulas lanjut, Masidi berkata, merujuk kepada kes di antara Musa dan Juhar sewaktu pergolakan politik pada 2018 turut menegaskan, definisi majoriti di dalam Fasal 6(7) dijelaskan oleh Mahkamah Tinggi sebagai ‘lebih daripada 50 peratus’ jumlah kerusi dan bukannya ‘mempunyai kerusi terbanyak’ bagi satu-satu parti politik.
Rentetan itu, jelas beliau, dakwaan Bung bahawa Hajiji tidak mempunyai locus standi untuk menjadi Ketua Menteri tidak mempunyai merit sama sekali.
“Ini kerana, Hajiji bersama semua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang keluar parti pada Disember lepas merupakan ahli langsung GRS.
“Terdapat lebih daripada cukup majoriti ADUN, dan GRS merupakan parti politik terbesar dalam DUN Sabah.
“Takrifan ‘majoriti’ dijelaskan oleh Mahkamah Tinggi dalam kes Tan Sri Musa Aman lawan Tun Juhar & Anor (2019) di mana Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Yew Jen Kie menyatakan ‘majoriti’ itu bukan bermaksud ‘kerusi terbanyak’ tetapi lebih daripada 50 peratus kerusi dalam DUN.
“Adalah menjadi asas kepada Perlembagaan Sabah bahawa TYT tidak boleh diheret ke dalam agenda politik, pertikaian atau perebutan kuasa.
“Saya berharap pemimpin politik tertentu memerhati perkara ini dan menunjukkan TYT dan institusinya rasa hormat.
“Oleh itu, amalan membawa akuan berkanun yang ditandatangani ke istana baru-baru ini sebagai bukti keyakinan ADUN terhadap kerajaan adalah sesuatu yang tidak diingini dan harus dihentikan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

