Sistem PBD masih mempunyai ujian akhir akademik tetapi tidak seketat UPSR dan PT3. GAMBAR: Abd Razak Aid

HARUSKAH peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Tingkatan Tiga (PT3) dikembalikan? Semakin ramai ibu bapa dilapor mahu kedua-dua peperiksaan yang telah dimansuh ini dikembalikan dalam kalendar peperiksaan sekolah.

Untuk rekod, UPSR dimansuh pada 2021 ketika pandemik Covid-19 melanda. Peperiksaan ini dimulakan pada 1988. Peperiksaan PT3 bagi tahun 2021 juga dibatal dan dimansuh terus mulai 2022. Peperiksaan ini dimulakan pada tahun 2014 menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Ekoran pemansuhan itu, penilaian pelajar adalah berteraskan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai sistem pentaksiran tunggal, dikendalikan sepenuhnya oleh pihak sekolah dengan pemantauan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Pentaksiran oleh pihak sekolah tidak lagi menekankan kepada peperiksaan tetapi lebih menyeluruh, termasuk aspek kemahiran. Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) pula dilaksana bagi yang berminat memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan lain-lain.

Sebelum ini kriteria yang diguna pakai bagi kemasukan pelajar ke Tingkatan Satu dan Tingkatan Empat SBP atau Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) masing-masing berteraskan keputusan UPSR dan PT3.

UPSR dan PT3 dimansuh kerana Kementerian Pendidikan berpendapat kebolehan dan ketrampilan pelajar tidak harus hanya menjurus kepada menghafal dan mengingat apa yang dipelajari untuk diuji dalam peperiksaan.

Sebaliknya, kebolehan mereka perlu dinilai dari aspek kemahiran diri serta memberi peluang kepada mereka menyerlahkan kemahiran tersebut. Kemahiran ini boleh dipupuk dan dikembang demi kerjaya masa depan.

Hasrat kementerian ialah melahirkan modal insan yang inklusif, mempunyai kemahiran dalam pelbagai bidang, bukan akademik semata-mata yang berteras peperiksaan.

Namun mereka yang mahu UPSR dan PT3 dikembalikan berpendirian sistem peperiksaan masih relevan dan penting sebagai indikator mengukur kebolehan pelajar, juga sebagai sistem saringan. Yang cemerlang akademik boleh memberi tumpuan di bidang itu, yang kurang cemerlang boleh meneroka bidang lain seperti vokasional.

Mereka juga bimbang ketiadaan peperiksaan akan menjadikan pelajar lalai dan kurang berminat memberi tumpuan kepada pelajaran disebabkan tiada peperiksaan. Jadi tidak perlu bersusah payah belajar. Selain itu, wujud kebimbangan sistem PBD boleh dimanipulasi dan pentaksiran tidak telus.

Sebenarnya sistem saringan pelajar telah pernah dilakanakan sebelum ini sewaktu pelajar di Tingkatan Tiga, melalui peperiksaaan Lower Certificate of Education (LCE) bagi pelajar aliran Inggeris dan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) bagi pelajar aliran Melayu.

Hanya pelajar yang memperoleh gred A berpeluang melanjutkan pelajaran ke Form Four atau Tingkatan Empat. Kelonggaran diberi kepada pelajar yang memperoleh Gred B naik tingkatan dengan syarat jumlah agregat tidak melebihi yang ditetapkan.

Berikutan pemansuhan aliran Inggeris, SRP menggantikan LCE sepenuhnya mulai 1985. SRP kemudian diganti sepenuhnya dengan periksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) mengikut Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) pada 1993 sebelum diganti dengan PT3 pada 2014.

Baca artikel berkaitan: Ambil iktibar peristiwa 2022, nyalakan tekad hadapi cabaran 2023

Saringan pada peringkat Tingkatan Tiga sudah lama tiada. Tanpa mengira keputusan peperiksaan, semua pelajar naik ke Tingkatan Empat. Tujuannya untuk memberi peluang kepada lebih ramai melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah tinggi.

Hasrat ini nampak murni. Tetapi kesan sampingannya ialah kenaikan automatik ini membawa bersamanya pelajar yang prestasi akademiknya rendah atau sudah tidak minat belajar. Kehadiran mereka ke sekolah bagai terpaksa.

Tentunya ini tidak membantu peningkatan akademik, tambahan kelompok pelajar ini biasanya diletakkan dalam kelas belakang, terasing daripada pelajar cemerlang yang diletakkan dalam kelas hadapan.

Kerana itu ada juga benarnya kebimbangan orang ramai terhadap prestasi akademik berikutan pemansuhan UPSR dan PT3. Tanpa saringan di peringkat sekolah rendah, juga untuk memasuki menengah tinggi, bagaimana kualiti pelajar ini yang akan hanya diuji pada Tingkatan Lima melalui peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?

Namun untuk mengembalikan semula UPSR dan PT3 juga masih terlalu awal memandangkan pemansuhannya baru dua tahun. Seperti ditegaskan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, ruang perlu diberi kepada sistem PBD menonjolkan potensi diri pelajar tanpa berpandu peperiksaan berasas akademik semata-mata.

Beliau menekankan, sistem PBD masih mempunyai ujian akhir akademik tetapi tidak seketat UPSR dan PT3. Ia juga memberi autonomi kepada sekolah untuk menguruskan peperiksaan berdasar keupayaan murid.

Fadhlina mahu hasil PBD ini dinilai terlebih dahulu dalam peroses kemajuan pelajar sehingga habis kitaran PBD pada 2025. Selepas itu barulah boleh dikaji semula keperluan mengembalikan UPSR dan PT3 atau sebaliknya, bergantung kepada laporan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2025 (PPPM 2025) yang akan tamat tiga tahun lagi.

Namun dalam melaksanakan PBD sebagai kayu ukur prestasi pelajar, Kementerian Pendidikan sewajarnya tidak harus menyerahkan keseluruhan proses penilaian kepada pihak sekolah semata-mata, walaupun pihak sekolah dipantau dan sentiasa berinteraksi dengan PPD.

Pihak sekolah boleh menjalankan taksiran yang ada hubung kait dengan amali atau kemahiran dengan peratusan markah tertentu. Pihak kementerian pula menjalankan peperiksaan akademik, seperti juga UPSR dan PT3 dengan peratusan markah tertentu.

Markah ini kemudian digabung untuk menilai pencapaian keseluruhan pelajar. Lebih kurang seperti pelajar universiti yang mana gred subjek ditentukan melalui kerja kursus dan peperiksaan akhir.

Dari situ juga dapat ditapis pelajar yang cemerlang akademik atau bukan akademik. Ini dapat membantu kementerian menyediakan garis panduan dan pelan perancangan lebih spesifik dalam mengadun ketrampilan pelajar bagi membentuk modal insan holistik, seperti yang kementerian sasarkan.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram