GAMBAR HIASAN

SEORANG ketua pegawai eksekutif (CEO) sebuah syarikat pengendalian program latihan didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini atas tujuh pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi menuntut insentif di bawah Program Penjana Kerjaya 2.0 berjumlah RM112,000.

Noorun Nashriah Ramli, 41, CEO Ikon Technical Academy Sdn Bhd, mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu yang didakwa dilakukan di Menara Perkeso Putrajaya, antara 13 Julai hingga 1 Oktober 2021.

Noorun Nashriah didakwa memberikan Invoice Ikon Technical Academy bertarikh 9 Julai 2021 melalui seorang wanita kepada empat pegawai perkhidmatan pekerjaan pejabat Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program tersebut berjumlah RM112,000.

Dia dituduh memperdayakan Perkeso melalui dokumen mengandungi pernyataan palsu mengenai Program Latihan Insentif Pekerja dengan membuat tuntutan program itu walaupun tidak dihadiri oleh peserta berdaftar dengan Perkeso.

Pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali nilai butir palsu itu atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Baca artikel lain: Polis tahan pemandu treler rempuh sembilan kenderaan

Pegawai Pendakwa SPRM Mohammad Shaiful Nasir menawarkan jaminan RM80,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah serta tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM berhampiran sebulan sekali.

Peguam Lum Kok Kiong memohon jaminan RM35,000 atas alasan anak guamnya menyara dua orang anak serta ibu bapanya selain memohon pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah selepas dia pulang daripada mengerjakan umrah bulan ini.

Hakim Azura Alwi membenarkan tertuduh diikat jamin RM35,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di pejabat SPRM, Putrajaya dan pasport diserahkan kepada mahkamah semasa sebutan kes pada 14 Feb ini.

Di dua mahkamah lain, pengusaha kantin sekolah Amir Shariffuddin Haron, 56, dan pengusaha kedai makan, Farhan Taufik, 34, mengaku tidak bersalah masing-masing atas satu pertuduhan mengemukakan dokumen palsu kepada Perkeso bagi menuntut insentif di bawah program tersebut berjumlah RM78,700.

Mereka didakwa memberikan Borang Pengesahan Pekerja Program Insentif Pengambilan Pekerja atas nama Perusahaan As Hayana Services dan Perusahaan Frans F & B Enterprise melalui seorang lelaki kepada seorang Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan Pejabat Perkeso bagi menuntut insentif tersebut.

Mereka dituduh memperdayakan Perkeso dengan dokumen mengandungi pernyataan palsu tentang nama pekerja baharu sedangkan senarai pekerja dinamakan itu bukan pekerja dua syarikat berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Wisma Perkeso, Jalan Tun Razak di sini, pada 5 Mac dan 1 Jun 2021. Pertuduhan itu juga mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Hakim Rozina Ayob membenarkan Amir Shariffuddin diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah, tertuduh dilarang ke luar negara dan melaporkan diri di pejabat SPRM di sini, sehingga kes selesai dan menetapkan sebutan semula kes pada 14 Februari ini.

Hakim Suzana Hussin pula membenarkan Farhan dijamin RM8,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan sama dan sebutan semula kes ditetapkan pada 10 Februari ini.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Abd Muntaqim Abdul Aziz dan Ikhwan Zaudii Nordin manakala Amir Shariffuddin diwakili peguam Hasmah Nordin dan Farhan tidak diwakili peguam.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram