Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin. GAMBAR: Abd Razak Aid

PERIKATAN Nasional (PN) menyifatkan, dakwaan penyelewengan dana RM92.5 bilion yang dilemparkan kepadanya adalah pembohongan dahsyat yang disandarkan kepada cerita rekaan atas rekaan.

Ini kerana perbelanjaan fiskal di bawah pakej rangsangan ekonomi bukan dalam bentuk projek yang boleh diselewengkan, tetapi sebahagian besarnya adalah pemberian tunai langsung kepada rakyat.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan, bagaimana dana ini boleh diseleweng jika ia merupakan pemberian tunai langsung seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), Geran Prihatin dan Subsidi Upah.

Selain itu, beliau turut menegaskan, dakwaan kutipan komisen tiga hingga lima peratus daripada perbelanjaan fiskal ini juga adalah rekaan.

“Bagaimana saya boleh kutip komisen daripada perbelanjaan ini? Adakah 10.6 juta rakyat yang menerima BPN memberi komisen kepada saya?

“Adakah 2.96 juta pekerja yang menerima subsidi upah memberi komisen kepada saya? Tentu sekali tidak.

“Jadi kalau mereka tidak memberi komisen kepada saya seperti yang didakwa, dari mana datangnya RM4.5 bilion untuk Bersatu yang kononnya diseleweng daripada dana RM92.5 bilion itu?

“Ini jelas merupakan satu cerita rekaan yang karut dan merepek. Hakikatnya, tidak ada dana RM4.5 bilion dalam akaun Bersatu atau akaun saya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Baca artikel lain:KJ, sekutu sokong Kerajaan Perpaduan dan Anwar jika jadi Presiden UMNO

Muhyiddin berkata, sebelum ini Perdana Menteri membuat kenyataan bahawa Pakej Rangsangan Ekonomi bernilai RM600 bilion telah diselewengkan oleh kerajaan PN semasa beliau menjadi Perdana Menteri.

Katanya, kenyataan itu jelas palsu apabila bekas Menteri Kewangan kerajaan PN, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Abdul Aziz mengesahkan, perbelanjaan lapan Pakej Rangsangan Ekonomi diurus secara telus.

Kemudian, katanya, isu RM600 bilion tidak lagi disebut, ini kerana sebahagian besarnya berbentuk non-fiskal iaitu bukan perbelanjaan dana kerajaan termasuk moratorium bank dan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Dana yang berbentuk fiskal iaitu yang melibatkan wang kerajaan ialah sebanyak RM92.5 bilion. Semasa saya menjadi Perdana Menteri, jumlahnya RM83 bilion tetapi telah meningkat selepas itu.

“Kerana itulah, tohmahan yang dilemparkan kepada saya dan Bersatu kini tertumpu kepada dakwaan penyelewengan dana berjumlah RM92.5 bilion.

“Kononnya, saya telah mengarahkan individu tertentu untuk tiga-lima peratus komisen daripada keseluruhan dana ini untuk dimasukkan ke dalam akaun Bersatu.

“Jadi, atas andaian ini mereka memfitnah kononnya Bersatu mempunyai dana pilihan raya berjumlah RM4.5 bilion yang digunakan semasa PRU-15,” katanya lagi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram