PAKATAN Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) didakwa gelisah melihat Perikatan Nasional (PN) yang mendapat sokongan sekurang-kurangnya 62 peratus orang Melayu serta Bumiputera pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Oleh disebabkan itu, hampir setiap hari ada sahaja tohmahan dilemparkan terhadap PN dan secara berterusan melakukan ‘witch-hunting’.
Terbaharu, penahanan Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Segambut untuk tujuan siasatan berkaitan dakwaan penyelewengan dana RM92.5 bilion.
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa, tindakan seperti ini dilakukan sebagai usaha menghalang kemaraan PN menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.
“Kerana itu, kerajaan PH-BN akan terus melakukan pembunuhan karakter terhadap PN dan saya dengan melemparkan pelbagai tohmahan jahat yang tidak berasas.
“Saya tidak menolak kemungkinan tohmahan penyelewengan RM600 bilion direka supaya tindakan undang-undang terhadap Bersatu dapat diambil dengan tujuan untuk melemahkan jentera pentadbiran Bersatu sehingga sukar menghadapi PRN.
“Saya yakin siasatan SPRM setakat ini akan mendapati bahawa tohmahan terdapat RM4.5 bilion dalam akaun Bersatu atau akaun saya adalah palsu. Saya tidak pernah mengambil walau satu sen pun wang yang bukan hak saya.
“Sehubungan itu, Bersatu akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM dalam menjalankan siasatan.” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Baca artikel lain: Dakwaan seleweng RM92.5 bilion dilempar kepada PN fitnah – Muhyiddin
Muhyiddin menegaskan, sebagai sebuah parti politik, Bersatu mempunyai dana hasil sumbangan pihak-pihak yang menyokong perjuangannya.
Ujarnya, akaun Bersatu diurus secara telus di mana setiap terimaan dan perbelanjaan direkod, diaudit serta dibentangkan dalam Perhimpunan Agung Tahunan mengikut kehendak perlembagaan parti serta Akta Pertubuhan 1966.
“Walaupun negara kita masih belum mempunyai undang-undang pendanaan politik, saya percaya setiap sumbangan yang diterima oleh Bersatu tidak menyalahi mana-mana undang-undang atau peraturan yang sedang berkuat kuasa,” katanya lagi.
Mengenai perbelanjaan pilihan raya yang dikatakan mewah, Muhyiddin mendedahkan, sebagai langkah penjimatan, proses mencetak dilakukan dua tahun lebih awal dengan kos hampir empat kali ganda lebih murah.
“Sebab itulah PN membuat keputusan untuk tidak menukar bendera dan logo yang digunakan dalam PRU-15 walaupun ada cadangan sedemikian. Ini kerana kita telah menyimpan stok lebih awal.
“Jika hendak dicetak semula, semua stok yang ada akan dibazirkan selain perlu menanggung kos yang berkali ganda lebih tinggi untuk mencetak bendera dan merchandise yang baharu. PN tidak ada dana untuk tujuan itu,” katanya lagi.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram