Empat MP GRS tak perlu kosongkan kerusi, kata Armizan

Dari Penulis

TEKA-teki mengenai status empat ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang bertindak keluar parti terjawab apabila kesemua mereka tidak perlu mengosongkan kerusi yang dimenangi mereka pada PRU-15.

Perkara itu disahkan oleh Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali kepada Free Malaysia Today.

Menurutnya, beliau telah menerima salinan emel dari Speaker Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul yang dihantar kepada Naib Presiden Bersatu Ronald Kiandee berhubung status mereka selepas keluar parti, baru-baru ini.

“Surat bertarikh 16 Jan daripada speaker itu sebagai jawapan kepada Ronald dan SK (salinan kepada) kepada kami (empat Ahli Parlimen GRS).

“Keputusannya saya tidak mahu ulas panjang sebab surat itu hanya SK kepada kami, tetapi (keputusan) secara asasnya kami tidak perlu mengosongkan kerusi,” katanya, hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau lega dengan keputusan itu, Armizan yang juga menteri di jabatan perdana menteri (hal ehwal Sabah dan Sarawak) enggan mengulas lanjut.

“Saya tak mau komen dulu, sebab surat itu sebagai jawapan kepada Ronald, kecuali kalau speaker buat kenyataan terbuka baru saya akan komen,” katanya.

Selain Armizan, tiga lagi Ahli Parlimen berkenaan ialah Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Jonathan Yasin (Ranau) dan Matbali Musah (Sipitang).

Pada 10 Dis, Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan kesemua pimpinan tinggi Bersatu Sabah keluar parti, termasuk empat Ahli Parlimen itu.

Jelasnya, di peringkat persekutuan, Bersatu adalah pembangkang, manakala GRS telah berikrar menyokong kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Susulan itu, Bersatu telah menghantar notis kepada speaker Dewan Rakyat untuk memastikan bahawa telah berlaku kekosongan “luar jangka” membabitkan empat kerusi Parlimen di Sabah yang didakwa ditandingi sebagai ahli Bersatu.

Ronald yang juga ketua Bersatu Sabah, berkata permohonan sudah dibuat kepada speaker supaya kekosongan itu dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam tempoh 21 hari.

Katanya, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengesahkan bahawa keempat-empat Ahli Parlimen itu adalah calon bertanding sebagai ahli Bersatu pada PRU15 merujuk kepada surat bertarikh 3 Nov daripada setiausaha Bersatu Sabah.


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Tunku Zain Al-‘Abidin dimasyhurkan Tunku Panglima Besar Negeri Sembilan

YANG Dipertuan besar Negeri Sembilan, Tunku Muhriz Tuanku Munawir berkenan memasyhurkan putera keduanya, Tunku Zain Al-'Abidin sebagai Tunku Panglima...

More Articles Like This