PENYANYI Khai Bahar mengakui dia mudah semput dan kurang selesa sewaktu membuat persembahan pentas kesan daripada jangkitan Covid-19 yang dialaminya pada tahun lalu.
Walau bagiamanapun, Khai atau Muhammad Khairul Baharuddin,29, kini lebih menitik beratkan soal penjagaan kesihatan dan mengamalkan gaya hidup sihat sebagai satu cara mengatasi masalah yang dialami.
Ujar Khai, sebagai seorang penyanyi dan penghibur, dia perlu sentiasa kelihatan bertenaga dan paling penting vokalnya perlulah berada pada kelasnya yang tersendiri.
Justeru, langkah pertama, dia kini mengamalkan aktiviti kecergasan dan meluangkan masa berkunjung ke pusat gimnasium.
“Saya nak hiburkan orang, jadi kenalah bagi nampak elok sedikit. Sebenarnya, perkara utama saya pergi gim sebab nak kembalikan stamina.
“Saya pernah positif Covid-19 dan kesan daripada penyakit itu, bila nak menyanyi saya rasa cepat mengah, semput dan tak selesa.
“Saya cakap dengan jurulatih peribadi, saya nak semula stamina syaa yang dulu. Jadi, setiap hari saya akan luangkan masa sekurang-kurangnya dua jam di gim,” katanya kepada URTV.
Khai berkata demikian ketika ditemui pada pelancaran single duet bersama Nabila Razali berjudul Selagi Ku Ada di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambah pelantun lagu Luluh itu lagi, dia berpuas hati dengan hasil usahanya mengembalikan stamina selain bentuk badannya juga semakin kekar.
“Syukur alhamdulillah, saya nampak perubahannya itu. Dah tak macam dulu.
“Dari segi pemakanan pun saya sangat jaga. Dari dulu lagi saya memang jaga makan.
“Tapi kadangkala dalam sehari, saya akan ada fasa ‘cheat day’,” ujarnya.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

