PELAKON Puteri Sarah Liyana tiba di Kompleks Mahkamah Syariah Kuala Lumpur kira-kira pukul 10.25 pagi, hari ini.
Sarah atau Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin,38, kelihatan ceria dan bersemangat sambil ditemani dua orang adiknya untuk memfailkan perceraian dengan suaminya, pengarah Syamsul Yusof.
“Hari ini saya bersedia dan bersemangat sebab ada adik-beradik datang bersama.
“Nanti saya akan kongsikan lebih lanjut,” katanya.

Selain hadir bersama dua orang adiknya, Puteri Sarah turut ditemani peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader.
Puteri Sarah yang memakai jubah serta tudung berwarna hitam itu nekad menuntut cerai daripada Syamsul kerana tidak mahu dimadukan selepas pengarah kontroversi itu membuat pengakuan sudah bernikah dengan Ira Kazar.
Malah, Puteri Sarah yang sudah empat tahun bertahan dengan kemelut rumah tangganya dengan pengarah filem Mat Kilau itu, membuat keputusan untuk berpisah selepas melihat hubungan mereka tidak lagi boleh diselamatkan.
Untuk rekod, Puteri Sarah dan Syamsul bernikah pada 8 Mac 2014. Hasil perkahwinan itu, nereka dikurniakan dua orang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam dan Sumayyah.

