Perdana Menteri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan orang ramai di program minum petang bersama rakyat di Lembah Makanan Bandar Perda, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, petang ini FOTO BERNAMA

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Kerajaan Perpaduan pimpinannya akan terus fokus melaksanakan tanggungjawab dan amanah walaupun berdepan kerenah pihak tertentu yang mempertikai dasar dilaksanakan.

Tanpa menyatakan secara terperinci pihak yang dimaksudkannya, Anwar berkata kerajaan mempunyai banyak tugas yang perlu diberikan tumpuan bagi membantu rakyat dan bukan semata-mata melayan kerenah pihak terbabit.

“Tak payahlah kita nak layan semua kerenah dia. Kita tak ambil gaji pun dia marah, ambil gaji kata tinggi sangat, ini masalah orang-orang politik yang tidak diperingatkan untuk apa kita ini berjuang dan memimpin.

Pemimpin itu kita menunjukkan contoh yang baik, siapa tidak mahu kemudahan, saya pun mahu tetapi kita perlu memikirkan tanggungjawab bahawa rakyat yang lain susah,” katanya ketika berucap pada program minum petang bersama rakyat di Lembah Makanan Bandar Perda di sini hari ini.

Turut hadir isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman.

Anwar berkata pimpinan kerajaan perlu menunjukkan teladan baik dan menghentikan perkara yang boleh merosakkan negara.

“Saya tak nafi memang banyak kes-kes tetapi saya kata sejak saya jadi Perdana Menteri, saya tidak tolak ansur dan saya ucap terima kasih kepada timbalan perdana menteri dan menteri serta timbalan menteri.

Saya nampak cepat, saya kata turun gaji kita turun gaji, saya kata jimat belanja, kita jimat belanja…orang politik ada tanggungjawab dia, penjawat awam ada tanggungjawab dia, barulah negara ini kita boleh bangkit semula,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar yang juga Presiden PKR berkata kawasan Parlimen Permatang Pauh yang pernah diwakilinya sebelum ini masih dianggap kubu kuat PKR walaupun parti itu tewas kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-15.

“Saya tidak pernah lupa (Permatang Pauh) walaupun kita tahu saya ke Port Dickson, Tambun tetapi asas kekuatan kita tetap Permatang Pauh. Walaupun kita diuji tetapi insya-Allah kita akan tawan semula,” katanya. – BERNAMA