Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. GAMBAR BERNAMA

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba untuk lawatan rasmi dua hari ke Brunei.

Lawatan rasmi ke luar negeri kedua Anwar sejak memegang jawatan perdana menteri itu diiringi isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Penerbangan khas membawa perdana menteri dan isteri, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada 3.13 petang.

Ketibaan Anwar dan Dr Wan Azizah disambut Putera Mahkota Brunei Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah.

Anwar diberikan sambutan rasmi di lapangan terbang itu. Lagu kebangsaan Malaysia, ‘Negaraku’ dimainkan diikuti lagu kebangsaan Brunei Darussalam, ‘Allah Peliharakan Sultan’.

Perdana Menteri kemudiannya memeriksa perbarisan kawalan kehormatan yang terdiri daripada anggota Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.

Turut hadir di lapangan terbang ialah Menteri Luar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Datuk Raja Reza Raja Zaib Shah.

Baca artikel lain: Sweden harus mohon maaf, bakar al-Quran bangkit kemarahan umat Islam – Ismail Sabri

Esok, perdana menteri dijadualkan untuk menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, dan kedua-dua pemimpin kemudiannya akan mengadakan pertemuan empat mata.

Kedua-dua pemimpin dijangka akan mengambil peluang untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan, di samping mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Perdana menteri dan Sultan Brunei juga akan menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA).

Selain itu perdana menteri akan menghadiri majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Brunei, malam ini.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram