SEWAKTU cuti musim panas tahun 1929, Leslie Grant membawa isterinya, Joan Grant bercuti di Belgium. Mereka menginap di sebuah hotel di tengah bandar Brussels. Hotel tiga bintang itu menawarkan penginapan tambahan percuma selama semalaman buat pelanggan yang telah menginap bagi tempoh dua malam berturut-turut.

Tawaran menarik ini mendorong minat Leslie untuk mengambil pakej tersebut, tambahan pula sewa hotel yang begitu murah berbanding hotel-hotel lain yang berada di sekitar bandar Brussels.

Sebaik sahaja mendaftar masuk ke dalam hotel, isterinya mengomel kerana keadaan bilik hotel tersebut membuatkan dirinya tidak begitu selesa dan rimas. Joan rasa tidak senang dengan persekitaran dalam bilik tersebut yang berkuap sehingga menyuarakan hasrat untuk keluar dan menginap di bilik lain.

Bagaimanapun, Leslie tidak mengendahkan keluhan isterinya itu dan menganggapnya sebagai karut. Selepas itu Leslie berlalu keluar menuju ke kedai runcit berhampiran untuk mendapatkan sedikit barangan keperluan dan makanan.

Joan yang tinggal sendirian cuba menyurutkan perasaan takutnya dengan berendam air panas dalam tab mandi. Namun begitu, dia masih merasa tidak sedap hati dan berdebar-debar, seolah-olah ada sesuatu akan berlaku.

Joan mandi tergesa-gesa. Selesai mandi, Joan berbaring atas katilnya. Beberapa ketika kemudian, tiba-tiba dia mengalami kejadian yang sangat aneh. Sesuatu yang tak terduga berlaku pada pandangan ilusi matanya sendiri.

Joan berasa pening, ruang biliknya yang tadi luas tiba-tiba menjadi semakin sempit. Kemudian, dia melihat seorang lelaki berbadan kurus, berpakaian kemeja lusuh meluru keluar dari bilik air dan terus terjun dari tingkap.

Joan tersentap lalu menjerit ketakutan! Dia menunggu hingga bunyi jatuh berdebuk jasad lelaki tersebut, malangnya tiada satu pun bunyi jasad ataupun objek yang jatuh kedengaran.

Tidak semena-mena, ilusi itu berlaku sekali lagi pada pandangan matanya. Lelaki kurus itu meluru dari bilik air dan terjun dari tingkap. Kejadian ilusi itu berlaku berkali-kali hingga membuatkan wanita ini tidak tentu arah.

Takut melihat ilusi itu, Joan cuba keluar dari bilik tersebut. Tetapi, ilusinya itu telah mengaburi matanya mencari pintu keluar. Joan begitu tertekan, dia mahu segera keluar daripada ilusi tersebut. Akibat terlalu takut, Joan hampir mengikut kata hatinya untuk terjun dari tingkap seperti dilakukan lelaki itu kerana terdesak mencari jalan keluar.

Tapi, belum sempat Joan hendak terjun dari tingkap, tiba-tiba suaminya muncul dari belakang menahannya. Leslie terus membawa isterinya itu keluar dari bilik puaka tersebut.

Rupa-rupanya, lima hari sebelum Joan dan Leslie menginap telah berlaku kejadian bunuh diri di bilik sama yang didiami pasangan berkenaan. Wajah lelaki berpakaian kemeja lusuh yang dilihat melalui ilusi Joan itulah mangsa yang membunuh diri akibat tekanan jiwa semasa berada di hotel berkenaan.

____

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

FacebookTwitterEmailWhatsAppTelegramLinkedInShare