SEORANG anggota polis trafik parah selepas motosikal yang dinaiki terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 8.9 Lebuhraya Persekutuan, tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, ketika kejadian, mangsa yang dikenali sebagai Sarjan Abdul Jalil Md Said, 35, sedang melakukan tugas rondaan Op Selamat 19 Tahun Baharu Cina dengan menunggang motosikal di lorong kiri.

Beliau berkata, sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 yang dipandu seorang lelaki Cina berusia 42 tahun tiba-tiba masuk ke susur kiri secara mengejut untuk ke stesen minyak.

“Akibat kejadian itu, mangsa tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta tersebut dan jatuh di atas jalan.

“Mangsa yang bertugas di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam mengalami luka di muka dan tangan serta patah jari kelingking dan tulang pipi kanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, mangsa kini menerima rawatan di Hospital Shah Alam dan kes disiasat dibawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Hanif Sukri di talian 014-8066744.