“Pisang Berbuah Dua Kali”. Ungkapan ini mungkin dinilai negatif andai maksud ungkapan tersebut diertikan sebagai kesilapan yang sama terus menerus dilakukan. Namun, jika ia dipandang secara positif, bukankah lebih baik berbuah dari terus tidak mendatangkan hasil.
Itulah cara kita memandang musibah dan kegagalan. Pandanglah dari sudut positif, maka positiflah jadinya.
Sebab itulah kita perlu melihat dengan pandangan mata seperti lebah. Bukan pandangan mata seperti lalat. Lebah hanya melihat bunga dan haruman sebagai makanannya. Apa sahaja yang busuk pasti dijauhi. Bukan seperti mata lalat. Apa sahaja yang harum pasti dijauhkan, Namun yang busuk dan kotor sahaja menjadi idaman.
Namun memang benar kita tidak boleh terus menerus berada dalam ruang kesilapan. Sebab itu Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: “Seorang mukmin tidak akan jatuh ke dalam satu lubang sebanyak dua kali.” Riwayat Bukhari & Muslim.
Apabila perubahan itu tidak dilakukan. Kesilapan itu tetap statik menjadi ikutan. Maka ia pasti akan menjadi barah berpanjangan dan sukar untuk dirawat. Suntiklah vaksin antibiotik sebagai pencegahan sebelum menjadikan hospital rumah merawat sepanjang hayat. Samalah seperti orang yang terus menerus melakukan maksiat.
Ibnu Qayyim berkata: “Kemaksiatan akan menanamkan kemaksiatan yang sejenisnya, sebahagiannya akan melahirkan sebagian yang lain sehingga sangat sulit bagi seorang hamba untuk meninggalkannya. Apabila seorang hamba melakukan dosa, maka dosa yang akan berkata, “Lakukanlah aku juga.” Apabila ia melakukannya, dosa yang ketiga pula berkata, “Lakukanlah aku juga.” Begitulah seterusnya sehingga kerugian akan berlipat kali ganda dan dosa-dosa akan semakin bertambah.” (Al-Jawabul Kahfi: 61)
Peluang Kedua Perlu Mencari Apakah Punca Kegagalan Pertama
Seorang ahli hikmah berkata, “Jika engkau tidak tahu bahawa itu dosa, maka itu adalah bencana. Jika engkau tahu bahawa itu adalah dosa namun engkau tetap melakukannya, maka itu adalah bencana yang lebih besar lagi.”
Bagaimana mungkin diisi air minum yang bersih. Andai kekotoran sebelumnya tidak dibasuh sebersihnya. Pasti air yang jernih walaupun datangnya dari dasar bumi boleh berubah menjadi keruh andai masih terdapat setitis kekotoran di gelas yang asal. Sebab itu kenal pasti punca kesalahan agar lebih pantas kita berjalan untuk berubah.
Jangan lupa untuk mengisi angin di tayar. Walaupun ia mengambil masa sedikit namun ia lebih baik dan mampu menjimatkan masa sepanjang tempoh permusafiran. Lebih baik mengikat tali kasut walaupun ditinggalkan pelari yang lain, berbanding terjatuh kecederaan yang akhirnya tertewas terus tanpa menamatkan larian marathon. Tanpa diketahui punca, kita pasti mengulangi kesilapan sama.
Siapa Sangka Peluang Kedua Adalah Rahmat
Siapakah Khadijah binti Khuwailid yang sebenarnya? Adakah pernikahan beliau bersama pemuda yang paling baik akhlaknya di bumi Mekah itu merupakan pernikahan yang pertama?
Tidak! Khadijah sudahpun bernikah dua kali sebelum dihadiahkan pernikahan yang paling indah dengan pasangan yang paling mulia iaitu Rasulullah SAW.
Begitu juga detik kesedihan puteri kesayangan Rasulullah SAW iaitu Ruqayyah dan Ummu Kalthum. Pada asalnya Abu Thalib meminang mereka berdua untuk kedua putera Abu Lahab. Ruqayah menikah dengan ‘Utbah, dan Ummu Kaltsum menikah dengan ‘Utaibah.
Tidak lama setelah pernikahan itu, Rasulullah SAW menerima wahyu. Lantas Abu Lahab yang memusuhi Islam, mengarahkan anaknya agar menceraikan kedua puteri Nabi SAW tersebut.
Isteri mana yang tidak kesedihan ditinggalkan suami. Namun inilah dinamakan warna kehidupan. Rupa-rupanya ada hadiah disebalik kesedihan tersebut. Peluang pernikahan kali kedua dianugerahkan kepada puteri Rasulullah SAW iaitu Ruqayyah apabila ia dinikahkan dengan pemuda yang berakhlak mulia iaitu Utsman bin Affan. Selang beberapa waktu setelah menikah, mereka hijrah ke Habasyah. Ummu Kaltsum tetap tinggal bersama ayah dan ibunya.
Akhirnya setelah pemergian Ruqayyah, Ummu Kalthum juga dinikahi oleh Uthman bin Affan. Lihatlah perancangan Allah. Bukankah Allah lebih mengetahui perjalanan hidup kita. Peluang kali kedua sentiasa diberi kepada setiap manusia. Gagal sekali bukan bererti gagal selamanya.
Benarlah kata pujangga. “Gagal sekali bukanlah bererti gagal selamanya. Namun gagal untuk bangun semula itulah yang membuatkan anda akan gagal selamanya.”
Peluang Kedua Diberi Untuk Lebih Dicintai
Episod kegagalan yang berulang bukanlah satu kesalahan yang secara pasti dimurkai Allah selama-lamanya. Lihatlah kisah Adam dan Hawa.
Kegagalan mereka untuk kekal selamanya di syurga terhenti dek kerana syurga itu dikongsi bersama Iblis yang amat mencemburui mereka. Perkongsian tersebut telah mengundang mereka terperangkap dalam hasutan cemburu dan dendam Iblis yang akhirnya Adam dan Hawa gagal bertapak erat di syurga untuk selamanya. Namun sebesar manapun kesalahan mereka, ia tetap diberi peluang kedua untuk menebus kesalahan lampau. Kesilapan yang lalu dijadikan sebagai kompas kehidupan agar lebih berhati-hati.
Lebih banyak ‘perkakas’ taubat dan amal soleh ditingkatkan untuk merawat kesilapan lalu. Akhirnya kini Adam dan Hawa lebih Bahagia berada di dalam syurga tanpa sebarang hasutan iblis, bahkan kekal selamanya disana.
Mengapa kita tidak terfikir di benak fikiran kita. Untuk apa Allah SWT mengisahkan perjalanan hidup seorang Nabi yang mulia dengan kisah kesilapan. Bukankah sudah memadai jika Allah menceritakan kepada kita kisah kesempurnaan seorang Nabi tanpa sebarang kesalahan? Inilah hebatnya Allah SWT.
Ia bukan semata mahu mempamerkan kehebatan utusanNya. Namun ia juga mahu menonjolkan betapa hebatnya manusia andai ia bangun dan belajar dari kegagalan. Bahkan Allah biarkan Adam dan Hawa bangkit mencari Kembali cinta yang lebih sejati dari Rabbi.
Manusia Yang Tidak Bangun Dari Kegagalan Adalah Manusia Yang Cacat
Ya, memang benar manusia yang tidak bangun untuk mengambil peluang kedua itu adalah manusia yang cacat. Ia adalah manusia yang songsang. Kenapa ia dikatakan cacat dan songsang?
Cuba bayangkan kembali situasi bayi di atas. Bagaimanakah sekiranya seorang bayi itu statik berbulan-bulan tanpa bergerak.
Bagaiamanakah perasaan seorang ibu yang melihat anaknya tidak mampu merangkak. Apakah tidak tersentuh hati seorang ayah yang melihat anaknya hampir bertahun tidak mampu berusaha untuk memulakan langkah berjalan. Kalau kita yang berada di situasi tersebut, sudah pasti kita akan berkata ini adalah bayi yang cacat!!!
Samalah juga jika manusia yang tidak mahu mencuba setelah kegagalan. Peluang kedua untuknya tidak diambil sebagai pengajaran. Maka layaklah baginya digelar orang yang cacat. Cacat dari sudut nilai untuk berubah.
Kesimpulan
Peluang kedua adalah satu rahmat. Walaupun bukan kali kedua bahkan kali kedua ribu sekalipun ia tetap menjadi rahmat. Tujulah ke matlamat yang mahu dicapai. Walaupun terpaksa melawan arus deras. Seandainya anda berlabuh sampan ke sebuah pulau. Anda akan tetap mendayungnya walaupun terpaksa melawan ombak yang bertentangan. Asalkan destinasi itu berjaya ditujui.
Atau adakah anda akan membiarkan ombak memukul sampan anda pergi kemana sahaja? Jangan biarkan keputusan kita sentiasa menjadi keputusan yang terakhir.
Boleh jadi keputusan terakhir itu adalah tips kejayaan untuk peluang kali keduanya.