Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. GAMBAR: Pejabat Perdana Menteri

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan terdapat pengurangan elaun pembangunan Ahli Parlimen daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta.

Anwar berkata, pengurangan elaun itu bertujuan untuk mengawal kewangan negara dan akan dilaksanakan secara berperingkat.

“Elaun tersebut merupakan peruntukan pembangunan Ahli Parlimen, selaras dengan Pejabat Daerah dan Tanah serta Pegawai Pembangunan Negeri disebabkan kekangan ekonomi.

“Biarlah dibuat secara berperingkat… dana untuk Ahli Parlimen yang terlibat…ini memberikan contoh awal…maknanya kalau Ahli Parlimen sanggup kurangkan (elaun) walaupun ia bukan sumbangan peribadi, tetapi ia sumbangan pembangunan yang diselaraskan Ahli Parlimen dan Pejabat Daerah dan Tanah,” katanya kepada pemberita di Kampung Baru Sirusa, Port Dickson hari ini.

Bagaimanapun kerajaan akan mempertimbangkan bagi menyalurkan peruntukan tambahan sekiranya terdapat keperluan mendesak di kawasan Parlimen, seperti membaik pulih infrastruktur di kawasan terlibat.

Baca artikel berkaitan: GLIC, GLC berperanan sumbang, realisasi pembangunan Malaysia Madani – PM

Media sebelum ini melaporkan bahawa peruntukan kawasan untuk Ahli Parlimen penyokong kerajaan tahun ini telah dikurangkan lebih 65 peratus iaitu daripada RM3.8 juta kepada RM1.3 juta. Jumlah itu terdiri daripada geran langsung RM1 juta dan RM300,000 lagi untuk operasi pusat khidmat mereka.

Terdahulu Perdana Menteri meluangkan masa menyantuni rakyat di Negeri Sembilan dan menjamu selera rojak dan nasi goreng cina di Warung Pak Salleh, Port Dickson.

Turut mengiringi beliau ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.

“Saya kenal masyarakat di Port Dickson, pegawai kerajaan negeri dan pimpinan politik. Tentera dan polis di Port Dickson memberikan kerjasama baik.

“Saya patut datang sesekali di Port Dickson…gembira dapat berjumpa kawan-kawan lama, saya pernah ke warung ini dulu…menu rojak pasembur sedap,” kata bekas Ahli Parlimen Port Dickson itu.

— BERNAMA

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram