Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad menyerahkan dokumen lawatan kerja NESDB ke MPM kepada Pengarah Urusan National Economic and Social Development Board (NESDB), Dr Mahmoud Ahmed Al Futaise (empat dari kanan) pada majlis penutup Seminar Antarabangsa Libya “Sharing Of Malaysian Experiences In Re-Setting The Development Of Libya” di Wisma MPM, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

DELEGASI dari negara Libya menyatakan minat kepada model yang diguna pakai oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi Malaysia (MIGHT) untuk dibawa ke negara tersebut.

Malah, negara Afrika utara itu turut mengajak kerajaan Malaysia termasuk pelabur serta usahawan menerokai potensi ekonominya yang kini dalam proses pemulihan selepas berdepan kemelut politik panjang.

Perkara itu merupakan antara rumusan daripada lawatan National Economic and Social Development Board (NESDB) Libya ke Malaysia selama empat hari yang berakhir hari ini.

Setiausaha Agung Majlis Perunding Melayu (MPM), Datuk Dr Hasan Mad berkata, NESDB hadir dengan membawa empat misi utama yang antaranya mahu berkongsi pengalaman perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad GAMBAR: Abd Razak Aid

Katanya, MPM yang memiliki hubungan baik dengan kedutaan Libya telah diangkat sebagai rakan strategik bagi membantu mereka memenuhi segala perkara yang diperlukan.

“Dengan misi ini apa MPM punya respons kepada perkara itu, MPM akan perkukuhkan semula hubungan adik-abang dengan kedutaan.

“Dia minta kita kongsi pengalaman, MPM ada banyak (bahan melalui) seminar, lawatan dan sidang media untuk dikongsi bersama, apa yang dia nampak MPC bagus, mereka mahu tubuh agensi sama seperti MPC.

“MIGHT unik, bagus juga buat satu industri serupa di Libya, jadi ini benda-benda yang dia mahu buat. Jadi daripada lawatan itu banyak perkara yang mereka dapat,” katanya ketika ditemui UtusanTV.

Baca artikel lain: MPM meterai MoU dengan NESDB, bantu bangunkan semula Libya

Beliau berkata demikian selepas mengadakan sesi Round-up bersama NESDB. Delegasi NESDB turut disertai oleh pengarah urusannya, Dr Mahmoud Ahmed Al-Futaise.

Hasan menambah, Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir juga berjanji akan membawa isu pembukaan semula kedutaan Malaysia di Libya ke Kabinet dalam masa terdekat.

Jelasnya, hal ini kerana pada ketika ini Malaysia berhubung dengan Libya melalui kedutaan di Algeria.

Pada masa sama, beliau memberitahu bahawa Dewan Perniagaan Libya akan mengadakan lawatan ke Malaysia hujung bulan ini bagi merapatkan hubungan selain mengintai peluang-peluang yang boleh dimanfaatkan.

Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad bergambar bersama Pengarah Urusan National Economic and Social Development Board (NESDB), Dr Mahmoud Ahmed Al Futaise (duduk, tengah) selepas majlis penutup Seminar Antarabangsa Libya “Sharing Of Malaysian Experiences In Re-Setting The Development Of Libya” di Wisma MPM, Kuala Lumpur, hari ini. GAMBAR: Abd Razak Aid

Katanya, ini satu peluang yang baik, khususnya bagi Libya yang hanya memiliki tujuh juta penduduk untuk mengecap kemajuan pembangunan selepas begitu lama hidup dalam kemunduran.

“Banyak yang boleh kita teroka di Libya, sekarang ini orang sudah mula masuk ke Libya, minyak dan gas adalah di antaranya. Begitu juga pertanian.

“Cuba bayangkan tanam zaitun, kurma memang itu kawasan dia, ternakan kambing biri-biri, laut Mediterranean ada tuna biru, potensi yang dimiliki sangat besar

“MPM berbesar hati membantu, kami harap para pelabur Malaysia boleh ke sana, buat perniagaan dengan mereka, Tripoli sangat strategik,” katanya lagi.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram