SETIAUSAHA Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menafikan beliau mendahului atau masuk campur dalam urusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) berhubung isu kelulusan usul tambahan dua jawatan tertinggi parti itu tidak dipertandingkan.
Memetik laporan BH Online, Ahmad sebaliknya menegaskan kenyataan dikeluarkannya itu adalah mengikut Perlembagaan UMNO sebagai parti yang mematuhi perlembagaan.
Ahli Parlimen Pontian itu berkata, hanya menggunakan hak untuk bercakap dan menjawab tuduhan yang tidak betul.
“Kita sudah memberikan penjelasan kepada RoS (Selasa) serta mengemukakan dokumen tambahan termasuk minit mesyuarat lengkap sepanjang Perhimpunan Agung UMNO (PAU), memang tiada pelanggaran peraturan.
“Rujuk manapun (buku peraturan dan Perlembagaan) tiada perlanggaran ketika perkara itu berlaku,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad berkata, dakwaan yang timbul berhubung isu usul tambahan itu adalah daripada perwakilan dan individu yang tidak berada di dalam Dewan Merdeka.
Tambahnya, bukan sesuatu yang luar biasa apabila dua jawatan tertinggi UMNO tidak dipertandingkan.
“Ada sebab mengapa tiada kita tidak mempertandingkannya. Kita tidak mahu orang UMNO berpecah dalam tempoh 77 tahun UMNO ditubuhkan, hanya empat kali jawatan itu dipertandingkan.
Baca artikel berkaitan: Usul tambahan PAU: Kenyataan Ahmad Maslan pramatang, RoS masih siasat
“Sebagai contoh, pertandingan pada tahun 50-an, perpecahan itu mewujudkan PAS. Begitu juga pertandingan 1987, mewujudkan Semangat 46, kita tidak mahu UMNO berpecah lagi dan membentuk apa-apa (parti serpihan) lagi selepas ini,” katanya.
Katanya, usul itu juga bertujuan menjaga kepentingan 3.4 juta jumlah ahli UMNO kerana ada ketikanya jawatan presiden dan timbalan presiden dipertandingkan.
“Namun pada kali ini dan atas persetujuan tertentu untuk menstabilkan parti dan kerajaan, kita bersetuju terhadap usul kedua-dua jawatan itu yang dicadangkan wakil Melaka yang disokong oleh Terengganu,” jelas beliau.
Semalam, Ahli UMNO Bahagian Kuala Nerus, Aizat Fikri Nasir menyifatkan kenyataan Ahmad yang seolah-olah memberi gambaran isu berhubung usul tambahan telah selesai sebagai pramatang.
Aizat Fikri yang membuat aduan kepada RoS berhubung isu tersebut berkata, RoS dalam surat maklum balas kepadanya memaklumkan bahawa isu tersebut masih dalam proses semakan dan siasatan terperinci masih dijalankan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

