KETUA Penerangan PKR, Fahmi Fadzil menyifatkan peluang UMNO pada pilihan raya negeri (PRN) di Selangor mungkin lebih cerah tanpa dua bekas pemimpinnya, Tan Sri Noh Omar dan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan dua bekas pemimpin UMNO itu yang melihat peluang untuk parti itu memenangi kerusi pada PRN Selangor akan datang tipis berikutan ‘gelombang hijau’ Perikatan Nasional (PN).
“Mungkin bila mereka (Noh dan Khairy) tiada dalam parti itu, peluang bagi parti itu lebih cerah,” kata Fahmi selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina Parlimen Lembah Pantai di Bangsar, hari ini seperti dilaporkan FMT.
Sebelum ini, Noh melihat peluang UMNO untuk memenangi kerusi dalam PRN di Selangor tipis berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) di mana parti itu kehilangan kubu kuatnya di negeri berkenaan.
Malah, bekas Pengerusi UMNO Selangor itu mengakui beberapa pengundi Melayu di Tanjong Karang yang mengundi UMNO pada PRU-15 memberitahunya mereka tidak akan mengundi parti itu jika ia terus ‘berkawan’ dengan DAP.
BERITA BERKAITAN UMNO dijangka kalah PRN Selangor, hanya harap pengundi bukan Melayu – Noh
Sementara itu, Khairy yang juga bekas ketua Pemuda UMNO turut meramalkan saingan sukar untuk UMNO di Selangor apatah lagi untuk mengatasi ‘gelombang hijau’.
Noh dan Khairy sebelum ini dipecat daripada UMNO susulan keputusan dibuat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu selepas masing-masing dikatakan terbabit dengan tindakan sabotaj ketik A PRU-15.
Dalam perkembangan berasingan, Fahmi berkata, rundingan pembahagian kerusi di Selangor antara UMNO dan PH masih berlangsung.
“Di peringkat parti dalam kerajaan perpaduan, insya Allah saya percaya proses berjalan dengan baik dan akan dirunding. Bila tiba masa nanti akan diumumkan,” katanya.
Jumaat lalu, Ketua UMNO Selangor, Megat Zulkarnain Omardin dilapor berkata, parti komponen BN negeri sudah memutuskan kerusi yang ingin ditandinginya pada PRN dan akan berbincang secara terperinci dengan Pakatan Harapan (PH).
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

