Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli GAMBAR: Abd Razak Aid

HANYA penandatangan perjanjian persefahaman dijemput menghadiri mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang pertama, Selasa lalu.

Perkara tersebut dimaklumkan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli seperti dilaporkan BH Online.

Menurut Rafizi, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak dijemput kerana tidak menandatangani perjanjian berkenaan.

Beliau berkata, hanya parti yang mempunyai tiga atau lebih ahli Parlimen adalah penandatangan perjanjian itu.

Jelas beliau, penandatangan perjanjian pakatan itu adalah Pakatan Harapan (PH); Barisan Nasional (BN); Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Warisan.

“Mesyuarat itu hanya untuk penandatangan perjanjian. Walaupun MUDA sebahagian Kerajaan Perpaduan, hanya parti yang mempunyai tiga atau lebih ahli Parlimen adalah penandatangan (perjanjian),” katanya.

Baca artikel berkaitan: MUDA hanya tahu mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan daripada media

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis berasingan memaklumkan mesyuarat berkenaan hanya melibatkan parti-parti yang mengasaskan Kerajaan Perpaduan.

“Sebenarnya, mesyuarat itu adalah mesyuarat dalam kalangan parti-parti yang mengasaskan Kerajaan Perpaduan…yang lain (mesyuarat bersama parti lain yang menyokong Kerajaan Perpaduan) akan dibawa dalam jawatankuasa,” katanya.

Semalam, Setiausaha Agung MUDA, Amir Abd Hadi meluahkan rasa terkilan kerana parti tersebut tidak dijemput menghadiri mesyuarat pertama Sekretariat Kerajaan Perpaduan.

Beliau memaklumkan hanya mengetahui tentang mesyuarat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang berlangsung di Ibu Pejabat UMNO, Menara Dato’ Onn itu melalui media.

Dalam sidang media selepas mesyuarat, Anwar mengumumkan penubuhan tiga jawatankuasa termasuk Jawatankuasa Pilihan Raya bagi merangka strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN).

Dua lagi jawatankuasa ialah Jawatankuasa Strategi dan Jawatankuasa Pemantauan Agenda Kerajaan dan Politik.

Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata Jawatankuasa Pilihan Raya akan bersidang dalam masa terdekat melibatkan pengarah pilihan raya setiap parti.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi Sekretariat turut mengumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusoff sebagai Setiausaha Agung Sekretariat; Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebagai Ketua Sekretariat manakala ketua-ketua parti di bawah Kerajaan Perpaduan sebagai Timbalan Pengerusi Sekretariat.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram