KERAJAAN akan menyediakan RM2.7 bilion untuk menyelenggara dan menaik taraf jalan Persekutuan di seluruh negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam masa sama, bagi melaksanakan penyelenggaran kecil, RM300 juta disediakan khusus untuk kontraktor G1 hingga G4.
“Sejumlah RM1.5 bilion juga disediakan bagi menaik taraf dan membina baharu jalan perhubungan desa dan jalan-jalan luar bandar.
“Bagi isu jalan-jalan berlubang, khidmat Jurutera Daerah akan digunakan untuk menyegerakan penurapan kerosakan jalan Persekutuan serta pembaikan segera lain berdasarkan aduan rakyat yang diterima.
“Kerajaan menyediakan RM100,000 untuk setiap daerah. Sejumlah RM50 juta ringgit disediakan untuk segera memasang lampu-lampu jalan khususnya di kawasan berkemalangan tinggi,” katanya.
Pada masa sama, Anwar berkata, kerajaan akan meningkatkan pemberian Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) yang bertujuan untuk menyelenggarakan jalan negeri kepada RM5.2 bilion.
“Kerajaan Persekutuan telah memberi kelonggaran termasuk membenarkan penggunaan MARRIS untuk membaiki dan mengganti jalan, jambatan dan longkang yang rosak akibat bencana,” katanya lagi.

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

