SEMALAM, 26 Februari 2023 adalah tarikh akhir bagi calon-calon menghantar borang bagi pemilihan UMNO untuk penggal 2023 hingga 2026.
Pemilihan UMNO kali ini menjadi hangat apatah lagi dalam suasana parti itu kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan berbanding pemilihan pada tahun 2018.
Tolak tepi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden yang tidak dipertandingkan, kerusi lain dalam parti itu menerima saingan yang sengit.
Selain Naib Presiden, tumpuan pastinya terarah kepada jawatan Ketua Wanita UMNO apabila memperlihatkan pertandingan satu lawan satu antara penyandang, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan bekas peneraju sayap itu, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
Ramai pemerhati melihat kembalinya Shahrizat dalam arena politik negara merupakan masa terbaik ibarat ‘pucuk dicita, ulam mendatang’.
Ini kerana Wanita UMNO yang sebelum ini sering disifatkan sebagai ‘tulang belakang’ parti dilihat sudah semakin ‘rapuh’ ditelan usia.
Wanita UMNO yang dahulunya acap kali berdegar-degar memperjuang nasib dan kebajikan golongan itu dikatakan telah ‘tunduk’ layu membisu.
Dahulu, Wanita UMNO merupakan ‘lubuk’ melahirkan tokoh-tokoh politik yang mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan pemimpin lelaki.
Nama-nama seperti Ibu Zain atau Zainun Sulaiman yang diangkat menjadi tokoh pendidikan negara; Tan Sri Fatimah Hashim; Tan Sri Aishah Ghani serta Tan Sri Rafidah Aziz lahir daripada ‘rahim’ Wanita UMNO.
Baca artikel berkaitan: Noraini berentap dengan Shahrizat dalam pemilihan Ketua Wanita UMNO
Tokoh-tokoh inilah yang mengangkat isu wanita ke tahap tertinggi bagi memastikan kepentingan golongan itu sentiasa terbela.
Namun, semua itu seolah-olah tidak lagi kelihatan dalam Wanita UMNO ketika ini.
Selain Noraini, tiada lagi pemimpin Wanita UMNO yang dilihat lebih vokal atau menyerlah.
Perkara ini jelas berbeza dengan pemimpin wanita dalam parti-parti lain.
Jika dilihat pada parti yang membentuk Kerajaan Perpaduan ketika ini, ramai yang memandang tinggi pemimpin wanita terutama dalam Pakatan Harapan (PH).
Mengambil contoh DAP, beberapa pemimpin wanita dilihat lebih menyerlah seperti Hannah Yeoh; Teo Nie Ching; Yeo Bee Yin dan Young Syefura Othman.
PKR turut menampilkan pemimpin wanita yang mempunyai karisma termasuk Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek; Dr Zaliha Mustafa dan Fuziah Salleh.
Mungkin ini adalah masa terbaik buat semua ahli Wanita UMNO menentukan hala tuju baharu supaya sayap itu kembali ‘bernyawa’.
Wanita UMNO tidak lagi boleh menunduk ‘layu’ sebaliknya perlu berdiri sama tinggi dengan pemimpin parti lain demi kepentingan golongan wanita seluruh negara.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

