PENDAFTAR Pertubuhan (RoS) sepatutnya menangguhkan pemilihan UMNO sehingga keputusan siasatan dikeluarkan berhubung ketetapan tiada pertandingan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia bagi mengelak masalah lebih buruk kepada UMNO jika RoS mendapati apa yang dilakukan tidak sah, sedangkan ketika itu pemilihan sudah selesai.
Katanya, RoS setakat ini masih menjalankan siasatan bantahan dikemukakan dua ahli UMNO dan sebarang keputusan mengenainya kelak jika tidak memihak kepada parti, mungkin boleh menyebabkan UMNO digantung.
“Jika keputusan siasatan itu mendapati ia bertentangan dengan perlembagaan UMNO dan tidak sah, sedangkan pemilihan sudah selesai, apa akan jadi kepada UMNO.
“Saya bimbang jika keputusan RoS (umum hasil siasatan) sudah terlambat, ia akan menjejaskan UMNO. Memang RoS boleh ambil tindakan tegas jika parti melanggar perlembagaan, mungkin UMNO boleh digantung.
“Sebab itu, RoS perlu buat keputusan segera berhubung siasatan itu atau minta tangguhkan dulu pemilihan sehingga keputusan aduan daripada dua ahli UMNO itu dicapai,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Baca artikel lain: Usaha damai di Mindanao harus capai kejayaan – PM
Ismail Sabri menambah, sebarang keputusan dikeluarkan RoS berkait isu ini akan menjadi rujukan kes pada masa depan.
Katanya, gesaan kepada RoS itu bukan bermakna beliau mahu pemilihan ditangguhkan, sebaliknya perkara utama berhubung kesahihan ketetapan PAU itu perlu diputuskan dulu sebelum pertandingan atau pemilihan dibuat.
“Kita mahu isu pemilihan jawatan parti ini dibuat secara telus dan kini ia bergantung kepada keputusan RoS sama ada apa yang dilakukan sekarang sah atau tidak.
“Kita tidak mahu wujud masalah lain selepas ini jika apa yang dilakukan melanggar perlembagaan.
“Ini bukan bermakna saya mahu bertanding jawatan tertinggi parti, tetapi apa juga tindakan perlu berlandaskan prinsip perlembagaan yang sudah ditetapkan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

