GAMBAR HIASAN

MAHKAMAH Sesyen Shah Alam hari ini mengenakan bon berkelakuan baik selama tiga tahun terhadap seorang remaja lelaki atas tuduhan merogol teman wanitanya yang juga kanak-kanak bawah umur, dua tahun lalu.

Tertuduh yang juga merupakan seorang buruh binaan yang kini berusia 19 tahun itu dijatuhkan hukuman tersebut oleh Hakim Rasyihah Ghazali selepas mengaku bersalah bagi pertuduhan itu, pagi ini.

Mahkamah turut mengenakan cagaran RM5,000 bersama penjamin selain pengawasan polis selama setahun selepas bon itu selesai.

Sekiranya gagal melaksanakan cagaran itu sehingga pukul 4 petang ini, mahkamah turut memerintahkan tertuduh ditahan di Sekolah Henry Gurney sehingga usia 21 tahun.

Selain itu, tertuduh juga diarahkan untuk menjalani kaunseling selama tempoh penahanan dan diletakkan bawah pengawasan polis selama dua tahun sebaik habis penahanan Sekolah Henry Gurney.

Mengikut kertas pertuduhan, remaja lelaki itu didakwa merogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di sebuah rumah di Saujana Puchong, Puchong kira-kira pukul 10 malam pada Disember 2021.

Tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dihubungi kekasihnya pada Oktober 2021 untuk mengambilnya dari rumah ekoran mahu melarikan diri selepas bertengkar dengan ibu sebelum bapa remaja perempuan itu membuat laporan polis.

Siasatan mendapati tertuduh yang pada ketika itu berusia 17 tahun telah melakukan hubungan seks bersama remaja perempuan berkenaan di rumah pekerja milik syarikat tertuduh di Batu 14, Puchong.

Kekasih tertuduh kemudian memaklumkan telah hamil lima bulan pada Mei tahun lalu sebelum dijaga oleh ibu tertuduh.

Remaja perempuan berkenaan turut menerima rawatan di klinik swasta sepanjang kehamilannya sebelum melahirkan bayi lelaki di Hospital Selayang, 16 September tahun lalu.

Pegawai perubatan yang merawatnya membuat laporan polis berkenaan pesakit kanak-kanak yang bersalin sebelum pihak polis menangkap remaja lelaki berkenaan pada 19 September tahun sama.

Dalam prosiding itu, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) cawangan Shah Alam, Nur Syuhada Ahmad Sayuti ketika membaca laporan sosial tertuduh memaklumkan tertuduh tinggal bersama ibu dan bapa tirinya selepas penceraian terdahulu ibunya pada 2016.

Nur Syuhada turut memberitahu, tertuduh telah berhenti sekolah sejak tingkatan tiga kerana tidak berminat meneruskan sesi persekolahan selain tidak pernah terlibat dalam aktiviti dadah dan alkohol.

“Keluarga mangsa tidak mahu menerima remaja lelaki itu walaupun bersedia bertanggungjawab. Remaja lelaki tersebut juga memberikan wang bulanan secara rahsia untuk keperluan bayinya,” kata Nursyuhada.

Sementara itu dalam rayuannya, tertuduh yang tidak wakili peguam menyatakan kekesalan dan keinsafannya serta tidak akan mengulangi perbuatannya.

“Saya perlu tanggung mak, bapak tiri yang sakit dan anak saya. Gaji sehari saya sebanyak RM70 sebagai buruh binaan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya bagaimanapun menegaskan supaya hukuman paling sesuai dijatuhkan supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.