PELAKON Kamal Adli berkongsi kondisi kesihatannya yang semakin stabil selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, wajah dan badan ketika berdepan insiden diserang individu tidak dikenali di Singapura pada Ahad lalu.
Menurut Kamal,37, dia masih dirawat dan perlu bergantung kepada pengambilan beberapa jenis ubat-ubatan untuk mengurangkan rasa sakit yang dialami.
“Alhamdulillah, amin, Kamal semakin stabil tapi masih di bawah rawatan untuk tahan sakit, nanah, lebam di badan dan dijaga isteri saya,” tulisnya di Instagram.
Malah, menerusi entri sama, Kamal yang juga suami kepada aktres Uqasha Senrose itu juga turut memuat naik foto keadaan terkininya yang berbalut di bahagian kepala.
Sementara itu, Kamal sempat berpesan kepada orang ramai untuk menjaga keselamatan diri.
ARTIKEL BERKAITAN: Kamal Adli terpaksa ditidurkan selepas cedera parah kena pukul dengan cota di Singapura – “Penjenayah sudah kena tangkap,”., Uqasha Senrose trauma, menggigil tengok Kamal Adli berlumuran darah, mohon orang ramai terus doakan kesembuhan
“Terima kasih atas doa kalian terutamanya artis-artis di gerai jualan dan juga orang-orang Malaysia dan Singapura yang menolong Kamal.
“Cuma, Kamal harap, semua orang tolong jaga keselamatan kerana kita tak tahu siapa suka atau benci kita,” katanya.
Pada masa sama, Kamal juga memohon untuk mendoakan isterinya yang masih dalam keadaan trauma akibat kejadian serangan tersebut.
“Doakan untuk isteri saya yang masih trauma kerana isu ini. Saya sayang isteri saya.
“Yang ketuk saya, seorang sahaja, bukan satu Singapura. Jangan bergaduh,” tulisnya.
Terdahulu, Kamal diserang seorang lelaki berusia 33 tahun menggunakan cota besi ketika di acara Hari Raya Mega Sales 2023 di Singapura.
Mahkamah Singapura memerintahkan suspek yang dikenali sebagai Muhammad Nabil Rashid direman dua minggu bagi menjalani ujian psikiatri.
Tertuduh akan direman di Institut Kesihatan Mental untuk pemerhatian psikiatri.
Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hykuman penjara sehingga tujuh tahun, denda, rotan atau kedua-duanya sekali.

