MENTERI Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail disahkan mengungguli saingan bagi jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti penggal 2023 hingga 2026.
Setakat pukul 2.30 petang tadi, Wan Rosdy berada di hadapan dengan 124 undi diikuti Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mempertahankan jawatan menerusi 114 undi.
Satu lagi jawatan Naib Presiden pula disandang Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang mencuba buat kali kedua apabila memperoleh 107 undi.
Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO, Tan Sri Shahrir Samad memaklumkan, berdasarkan kiraan semasa, tiga kedudukan teratas itu dilihat tidak mampu dicabar calon-calon lain.
Menurut beliau, Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang berada di kedudukan keempat dilihat sukar memintas apabila hanya empat lagi bahagian yang belum mengumumkan kedudukannya.
“Daripada 187 bahagian ini, empat belum lagi hantar keputusan. Maknanya kita sudah ada dapat keputusan daripada 183 bahagian.
“Bahagian yang empat ini mereka belum sampaikan keputusan mereka tetapi kami berpendapat empat keputusan ini tidak akan mengubah kedudukan yang sudah dicapai bagi jawatan utama.
“Bagi Naib Presiden UMNO, Wan Rosdy memperoleh 124 undi tertinggi dan boleh diandaikan, dirumuskan beliau sudah mengambil tempat (Datuk Seri) Ismail Sabri Yaakob (penyandang nombor satu sebelum ini).
“Kedua, Mohamed Khaled dengan 114 undi dan ketiga seorang lagi muka baharu, Johari dengan 107 undi,” katanya dalam sidang media hari ini.
Baca artikel berkaitan: Johari Ghani, Wan Rosdy menang jawatan Naib Presiden UMNO
Azalina yang berada di tempat keempat pula hanya mendapat 72 undi.
Persaingan merebut tiga jawatan Naib Presiden UMNO memperlihatkan lapan calon termasuk Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Datuk Ir Hasni Mohammad.
Penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri Mahdzir Khalid pula hanya berjaya memperoleh 40 undi di tempat ketujuh.
Mengulas lanjut, Shahrir memaklumkan, jawatan Pengerusi Tetap UMNO telah dimenangi Tan Sri Badrudin Amiruldin dengan 174 undi manakala Timbalan Pengerusi Tetap pula dimenangi Datuk Seri Abdul Fattah Abdullah.
Jelas beliau, empat bahagian UMNO tidak terlibat dalam pemilihan parti kali ini.
Shahrir berkata, ia kerana bahagian tersebut sama ada digantung atau ditangguhkan proses pemilihan disebabkan beberapa masalah.
“Empat bahagian itu adalah UMNO Bahagian Tanah Merah, Kota Kinabalu yang digantung, serta UMNO Bahagian Johor Bahru dan Beluran, yang ditangguh.
“Dukacita saya mahu cakapkan, Johor Bharu maknanya secara rasmi saya masih lagi Ketua UMNO Bahagian. Patutnya saya sudah tak jadi, tapi ada sedikit masalah teknikal yang perlu diatasi, kadang-kadang ia boleh menjejaskan soal kesahihan, keabsahan keputusan.
“Jadi empat bahagian ini tak terbabit dan kalau ada semula pemilihan, mereka sudah tak terlibat dengan pemilihan di peringkat kebangsaan,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram