SELEPAS aktres Diana Danielle memfailkan cerai pada 10 Mac lalu, pelakon Farid Kamil mendakwa tidak dapat memasuki rumah yang mereka tinggal bersama sejak awal bulan lalu.
Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Diana mengesahkan Farid tidak dapat memasuki kediamannya sejak awal Mac lalu.
Walau bagaimanapun, Akberdin tidak memaklumkan alasan mengapa aktor itu dihalang untuk berada di kawasan rumah mereka.
Akberdin berkata, pihaknya diarahkan melalui proses Jawatankuasa Pendamai (JKP) selepas Farid enggan melafazkan cerai.
“Melalui JKP, wakil dilantik akan berbincang bagi mencari jalan penyelesaian, sebelum hasil perbincangan dikemukakan kepada mahkamah.
“Sekiranya JKP tidak dapat menemui jalan penyelesaian atau mendapati berlaku shiqaq, Mahkamah Syariah akan melantik hakam yang akan memberikan kata putus bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga pasangan berkenaan,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Farid Kamil enggan lafaz talak, Diana Danielle failkan cerai awal bulan lalu disebabkan ada berlakunya shiqaq
Malah, Farid juga tidak dapat bertemu dengan kedua anak-anaknya.
Perkara tersebut dimaklumkan pada prosiding permohonan cerai yang difailkan oleh Diana di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, hari ini.
Permohonan cerai tersebut difailkan Diana atau nama penuhnya, Diana Danielle Danny Beeson,32, pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Diana memberikan alasan tiada lagi persefahaman selain berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan) dan tidak boleh hidup sebagai pasangan suami isteri lagi.
Hakim Shukran kemudian menetapkan 28 Mac ini untuk membolehkan Farid memaklumkan mahkamah wakil bagi pihaknya dalam JKP tersebut.
Farid dan Diana mendirikan rumah tangga pada 3 November 2012. Pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

