Sinar Ramadan kembali mengimbau kenangan lalu

Dari Penulis

SEJUK pagi menggigit tubuh, mata masih bartaut rapat ketika emak menggerakkan penulis dari tidur. Walau pun emak sudah memberi ingatan esok puasa bermula dan mesti bangun sahur, penulis memang liat bangun.

Apatah lagi dalam suasana hening desa Tebuk Mukmin, Bagan Datuk, Perak yang sunyi nyaman, membelai diri agar tidur lena. Teriakan dua tiga kali emak menyuruh bangun seperti tidak masuk ke corong telinga.

Apabila emak datang menggoncang bahu sambil merenjis air baru bingkas bangun. Itu sudah cukup baik. Jika masih degil, seludang kelapa boleh singgah ke badan. Seludang kering memang banyak di rumah kerana ia adalah bahan bakar dapur selain tempurung kelapa atau pelepah kelapa kering.

Penulis adalah orang terakhir dikejut emak bangun, yang lain sudah bersila menghadap makanan. Mungkin emak mahu beri peluang tidur dahulu. Itulah kelebihan anak bongsu. Ada riak tidak puas hati di muka abang dan kakak kerana terpaksa menunggu penulis untuk mula makan.

Cebis kenangan ini kerap menerjah minda setiap kali menjelang Ramadhan. Kenangan ketika kecil memang tidak dapat dilupa, malah sentiasa segar tertanam kukuh dalam minda penulis walau pun sudah berpuluh tahun berlalu.

Ketika itu sekitar tahun 60-an, penulis masih bersekolah rendah. Kampung penulis jauh di pedalaman, melalui Kampung Sungai Maji Mohamad dan Parit Serong, beberapa kilometer dari jalan raya utama Bagan Datuk-Teluk Intan. Hanya ada lima buah rumah sahaja di kampung. Penduduk hidup penuh semangat kekeluargaan. Hubungan sangat erat.

Emak bangun sahur seawal pukul 4.30 pagi. Prinsip emak, biar awal jangan tergelincir waktu sahur. Emak selalunya terjaga apabila terdengar ayam jantan dalam reban berkokok. Pandai pula ayam berkokok pada waktu itu seolah-olah tahu waktu untuk bersahur.

Selain itu emak berpandukan kepada jam loceng tua. Jam ini perlu dikunci, tidak menggunakan bateri. Jika terlupa mengunci, jam mogok. Ketuk-ketuk di surau kampung sebelah, Kampung Parit Serong, hanya berbunyi apabila waktu imsak tamat dan subuh menjelang.

Di rumah penulis tidak ada radio. Bagi keluarga penulis, radio ialah barang mewah. Ada banyak keperluan lain lebih penting daripada radio. Panduan masuk solat bagi keluarga ialah bunyi ketuk-ketuk di surau. Walau pun rumah jauh dari surau, bunyi ketuk-ketuk jelas kedengaran.

Untuk menyediakan makan sahur, emak dibantu oleh kakak. Yang lain menunggu sahaja makanan dihidang. Menu sahur ala kadar sahaja. Ada ikan atau ikan kering dan sayur. Jika ada lebihan makanan berbuka, dipanaskan semula. Minum teh O panas menyegarkan mata yang mengantuk.

Selepas bersahur, masih ada waktu untuk penulis sambung tidur sebelum digerakkan sekali lagi oleh emak untuk solat dan bersiap untuk ke sekolah. Ketika ayah bergerak untuk pergi bekerja di kebun kelapa, penulis pula bergerak menuju ke sekolah.

Penulis berjalan kaki ke sekolah yang jaraknya lebih kurang tiga kimometer. Ertinya pergi balik enam kilometer. Memang penat berjalan dalam sejuk kabus pagi atau balik dalam panas bahang matahari.

Baca artikel berkaitan: Rasuah berleluasa, merebak dari daratan ke lautan

Lebih siksa jika hujan. Payung penulis hanyalah sehelai daun pisang. Pakaian dan kasut pasti basah apabila sampai ke sekolah.

Balik sekolah dalam panas matahari begitu meletihkan, diiringi pula oleh lapar dahaga. Emak selalunya akan suruh mandi dan rehat. Cuma emak ingatkan jangan tidur terlalu lama kerana ada tugas untuk penulis petang nanti.

Satu tugas hakiki penulis pada bulan puasa ialah menjadi penghantar makanan kepada jiran. Sudah menjadi kebiasaan emak memberi juadah kepada jiran, begitu juga dengan jiran-jiran. Bertukar juadah berbuka bagai budaya di kampung penulis. Kuih muih seperti ketayap, apam, seri muka atau pengat saling bertukar tangan, sama-sama saling merasa.

Sekali sekala hendak juga minuman sejuk untuk berbuka, bukan hanya teh O yang tehnya dari Ceylon (Sri Lanka), dibeli dari kedai Ah Keng. Tapi air batu tidak dijual di kedai kerana ketika itu tiada peti sejuk disebabkan tiada bekalan elektrik.

Oleh itu kenalah tempah air batu ketul daripada Jaafar. Arwah ialah penduduk kampung Parit Serong yang berniaga air batu pada bulan puasa. Penduduk yang hendak air batu perlu membuat tempahan sehari awal untuk memudahkan Jaafar membuat pesanan.

Jaafar dapat bekalan dari Teluk Intan, dibawa oleh lori. Bongkah ais sampai ke kedai tepi jalan Bagan Datuk-Teluk Intan, di Kampung Sungai Haji Mohamad pada sebelah pagi. Jaafar perlu menyimpannya di surau kampung, ditabur dengan serbuk papan tebal dan diselimut dengan guni agar lambat cair.

Yang telah menempah, boleh datang mengambil ais pada sebelah petang di surau. Ada yang menempah sekupang (10 sen) atau dua kupang (dua puluh sen). Yang penting bungkus ais batu tebal-tebal dan cepat bawa balik. Jika tidak cair di perjalanan.

Makanan yang emak masak, kuih yang dibuat juga yang diberi oleh jiran, menjadi juadah berbuka. Ada kala makan berlauk ikan rebus, ikan masin, atau ikan temenung (kembung) yang ketika itu berharga 25 sen sekati (600 gram). Arwah bapa suka kerang, ketika itu lima (5) sen sekati. Sayur boleh kutip dari keliling rumah seperti pucuk paku, kangkung atau pucuk ubi.

Setelah siap dihidang, penulis dan keluarga menunggu sahaja ketuk-ketuk di surau berbunyi. Cepat sahaja tangan mencapai air sirap yang dicampur selasih, hilang dahaga sepanjang hari.

Malam hari kadang kala penulis mengikut bapa ke surau untuk solat tarawih. Gelap malam diredah dengan terang benderang obor daun kelapa. Namun penulis kerap kali tertidur di surau. Sedar-sedar digerak untuk moreh, menikmati juadah yang dibawa oleh jemaah dari rumah masing-masing untuk sama-sama berkongsi makan. Balik ke rumah terus lena, menunggu untuk bangun sahur pula.

Memang banyak kenangan di bulan puasa jika hendak dicatatkan satu persatu. Ibu bapa penulis juga sudah lama pergi menghadap Ilahi. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh mereka dan ahli keluarga yang lebih dahulu pergi. Namun kenangan manis di bulan Ramadan bersama mereka tetap tersimpan kemas dalam lipatan hati penulis.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

Gempa kuat landa Mindanao, gegaran dirasai di Semporna

GEMPA bumi kuat bermagnitud 6.8 melanda Mindanao, Filipina pada pukul 7.34 malam tadi. Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), gegaran turut...

More Articles Like This