

MEMANG rasuah tidak kenal sempadan. Bukan sahaja berleluasa di daratan, rupanya sudah merebak ke lautan. Yang belum didengar ialah rasuah di udara. Mungkin memang tiada atau belum dapat dikesan atau didedahkan.
Baru-baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan 17 individu, sembilan daripadanya kakitangan awam, berhubung ‘rasuah di lautan’ melibatkan beberapa agensi kerajaan.
Kegiatan dikatakan sudah lama berleluasa tetapi hanya kini masuk jaring SPRM. Mungkin SPRM pun selama ini tidak sedar ramai penjawat awam di lautan tidak jujur, tidak amanah menjalankan tanggung jawab.
Mereka yang terlibat ditahan di bawah operasi ‘Op Tunda’ sebagai sebahagian daripada siasatan kegiatan meminta dan menerima rasuah daripada pemilik bot. Ia sebagai dorongan tidak mengambil tindakan terhadap pelbagai kesalahan di bawah Akta Perikanan sejak beberapa tahun lalu.
Rasuah dan keburukan rasuah sudah sangat kerap disuarakan, daripada sultan hinggalah para pemimpin negara serta cerdik pandai agama. Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, adalah antara pemerintah yang begitu menonjol nenentang rasuah.
Hampir dalam setiap titah pada acara-acara tertentu, termasuk Hari Keputeraan, baginda pasti menyebut mengenai rasuah. Baginda menyifatkan amalan rasuah di Malaysia kini berada pada skala bahaya.
Kerana itu baginda bertitah mengingatkan semua pihak agar tidak boleh memandang ringan, memilih melakukan penafian dan memikirkan segala justifikasi bagi menindakkan kewujudun rasuah di depan mata.
Baginda mahu penilaian rasuah dilakukan secara jujur, ikhlas dan objektif serta secara fakta sebagai membuktikan semua pihak sangat serius mahu membendung rasuah, malah mahu memeranginya.
Kerana itu sepanjang masa dan pada setiap ketika orang ramai diingat tidak memberi dan menerima rasuah. Tetapi kerap kali ingatan dan nasihat ini hanya bagai mencurah air di daun keladi. Malah seperti titah Sutan Nazrin, ada rasuah berlaku di depan mata tetapi dibiarkan.
Mungkin ini berlaku kerana ia melibatkan saudara mara, kawan, kenalan, rakan kerja dan sebagainya, yang menyebabkan perbuatan tersebut dipendam tanpa diambil tindakan.
Wujud juga andaian jika ‘ikan bilis’ akan segera masuk jaring. Ikan jerung lebih mudah terlepas. Jika sikap ini menjadi pegangan, sukarlah rasuah dibanteras. Namun yang membanggakan, banyak kes rasuah, baik ikan bilis atau jerung, sudah diheret ke mahkamah. Yang bersalah menerima hukuman. Diharap usaha ini akan berterusan dan konsisten.
Tetapi adakah hukuman di dunia serta hukuman yang bakal menanti di akhirat kelak menakutkan mereka yang terlibat dalam rasuah? Kelihatannya tidak kerana rasuah terus berleluasa, daripada peringkat atasan hingga bawahan.
Baca artikel berkaitan: Abadikan ‘Rumah Kuning’, hadiah kasih Sultan Yussuff kepada Noorizan
Daripada rasuah kecil-kecilan melibatkan beberapa ringgit atau puluhan dan ratus ringgit, hingga kepada yang lebih besar melibatkan ratusan ribu dan jutaan ringgit, rasuah terus menjadi barah dalam negara ini. Bagai api dalam sekam.
Sangat mengecewakan, budak pejabat atau kerani pun pandai meminta suapan. Jika hendak cari fail, atau segerakan tindakan ke atas fail, imbuhan perlu diberi. Jika tidak fail akan lama tersimpan. Di peringkat atasan pula, ada yang mahu duit kopi agar fail berjalan lancar.
Sungguh sedih kerana perbuatan ini bagai menganiaya golongan yang tidak mampu menghulur ‘pengkeras’, atau mereka yang berpegang tegas kepada prinsip tidak tunduk kepada rasuah.
Pernahkan anda ditahan pada sekatan jalan raya kerana kesalahan lalu lintas? Biasakah menghadapi situasi di mana anda ditanya ‘nak saman ke selesai?’ Selesai maknanya hulur duit poket supaya tindakan tidak diambil. Pesalah trafik yang malas panjang cerita akan ‘selesai’ sahaja.
Amaun ‘selesai’ tidak menentu. Mungkin berbelas atau berpuluh ringgit. Jika ramai mangsa tentu jumlahnya banyak. Yang kelakar selepas wang diberi wang, yang menerima akan berkata, ‘ini kira halal ye!’ Namun ada yang enggan ‘selesai’, lebih rela dikompaun demi tidak memberi rasuah.
Ini sekadar contoh rasuah kecil. Imbuhan atau sogokan melibatkan ratusan ribu, berjuta-juta atau puluhan dan ratusan juta, bukan mainan ‘ikan bilis’. Ramai yang terlibat adalah jerung besar dan kerana itu wang yang terlibat sudah tentu besar.
Sudah ramai menerima hukuman akibat rasuah. Namun sayang ia bagai tidak memberi pengajaran atau menimbulkan ketakutan. Malah kes rasuah terus menjadi-jadi.
Ini termasuk kes rasuah lautan yang baru kini didedah. Entah sudah berapa lama kaki tangan awam daripada pelbagai agensi kerajaan membuat onar ketika menjalankan tugas di lautan, termasuk menjadikan nelayan sebagai mangsa.
Rasuah tidak harus dibiar menjadi budaya dalam negara tercinta ini kerana ia bagai anai-anai yang memakan bangunan perlahan-lahan. Tahu-tahu bangunan sudah banyak robek dan rebeh, tidak dapat diselamatkan daripada runtuh.
Justeru dalam membendung rasuah, kerjasama semua pihak sangat perlu, tidak harus hanya bergantung kepada SPRM. Sebaliknya orang ramai jadilah mata dan telinga SPRM dengan melaporkan perbuatan rasuah agar tindakan segera boleh diambil.
Kerana banyak kes rasuah melibatkan ramai orang Melayu beragama Islam, ingatlah rasuah dibenci dan dilarang dalam Islam. Setiap sen duit rasuah yang dibelanjakan untuk diri dan keluarga akan menjadi darah daging. Mahukah daging yang tumbuh dalam diri berasal daripada sumber haram?
* Penulis memulakan kerjaya kewartawanan di Berita Harian pada 1979 sebelum menyertai Utusan Melayu pada 1980. Beliau kemudian melanjutkan pengajian kewartawanan sehingga peringkat sarjana di Boston University, Amerika Syarikat. Jawatan terakhir Penolong Ketua Pengarang Utusan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram