Salah satu video masakan 30 Hari 30 Resipi Sepanjang Ramadan oleh pempengaruh media sosial Khairul Aming telah menarik perhatian dan menerima teguran daripada Pakar Perubatan, Dr Rafidah Abdullah.
Sejurus itu, Khairul Aming tampil menjelaskan mengenai isu penggunaan minyak masak berlebihan dalam masakannya.
Khairul Aming berkongsi dua perspektif daripada dirinya sendiri. Pertama, dia seorang rakyat Malaysia yang mempunyai masalah obesity yang mahu menurunkan berat badan. Perspektif yang kedua pula dari segi ‘food content creator’.
“Pertama dari perspektif sebagai rakyat Malaysia yang obes, empat bulan yang lepas berat saya sebanyak 113 kg dengan tinggi 184 cm. Jadi bmi saya sangat tinggi. Kategori obesiti. Sekarang berat saya 100kg maknanya saya dah hilang 13kg. Bmi saya masih berlebihan tetapi dan kurang dalam kategori obesiti. Body fat saya pun turun daripada 44 peratus turun ke 29 peratus. Sahur saya makan benda high protein.
“Dua tahun lepas saya ada buat perjalanan Aming nak sihat. Memang menjadi. Tapi berat saya naik balik selepas itu.
“Kenapa? Sebab saya ‘hate’ relationship dengan makanan lokal yang berada dengan saya. Tak boleh nikmati makanan ada di sekeliling. Kemudian, makan segala makanan tanpa mengawal portion, berat pun naik semula.
“Akhirnya untuk perjalanan diet kali ni, saya tukar cara. Makanan kita sedap, rugi kalau tak makan cuma kita kena kawal portion,” katanya.
Dari perspektif kedua pula, Khairul Aming berkata dia sekadar berkongsi cara penyediaan makanan yang sebenar dan sama seperti di kedai makan.
“Kita boleh kurangkan minyak, kita boleh tukar resipi dan kita boleh tukar bahan. Tetapi, dia akan jadi tak sedap dan tak sama macam original. Itu sahaja sebenarnya.
“Kalau kita nak sambal yang sedap, kita kena masak dengan minyak yang banyak supaya dia pecah minyak. Kalau nak ayam goreng yang juicy, kita kena deep fried dengan minyak yang banyak. Kalau nak mac n cheese yang creamy kita tak boleh kurangkan cheese. Nanti tak sedap.
“Saya tunjuk berapa banyak gula minyak itu semua sebab saya nak tunjuk realiti. Ini cara sebenar makanan disediakan di luar sana. Kalau tak biasa masak, korang beli dekat kedai makan jadi korang mungkin tak rasa bersalah sangat. Tapi bila saya tunjuk video masak, orang cakap banyak minyak. Sebenarnya sama dekat kedai.
“Cuma kita tak ambil perhatian. Kalau saya ubah resipi jadi kurang sedap, orang dekat luar sana cuba dan tak sedap mereka akan maki saya. Saya tak boleh menyenangkan semua pihak. Dalam Malaysia ni tak semua orang nak jaga badan sebab ada yang nak makan sedap saja. Jadi saya sekadar tunjuk macam mana makanan tersebut disediakan,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, dia menerima maklum balas dan teguran orang ramai dengan hati terbuka. Dia juga turut menasihati orang ramai untuk mengawal pemakanan dan boleh mengubah resipi tersebut mengikut selera masing-masing.
Terdahulu, Dr Rafidah menegur kaedah masakan Khairul Aming yang dianggap kurang sihat dan berisiko kepada mana-mana individu kerana menggunakan minyak masak yang banyak.
Selain itu, Dr Rafidah juga berharap Khairul Aming lebih peka terhadap masalah kesihatan yang dihadapi oleh rakyat Malaysia dan menyediakan makanan yang lebih sihat di masa akan datang.
Kredit : TikTok Khairul Aming

