SEJAK Jumaat lalu, fyp media sosial penulis dibanjiri dengan pelbagai ragam netizen yang berkongsi tentang satu perkara iaitu rendang!
Ya, benar. Anda tidak tersalah baca, belum masuk bulan Ramadan pun tetapi topik tentang rendang mengisi setiap ruang di media sosial.
Ada yang berkongsi kegembiraan, tak kurang juga menyatakan keluhan.
Semuanya gara-gara fenomena yang dicipta usahawan dan pempengaruh media sosial, Khairul Aming atau nama sebenarnya, Khairul Amin Kamarulzaman menerusi produk makanan terbaharunya, Rendang Nyet.
Majlis pelancaran produk terbaharu menerusi platform TikTok itu menarik minat dan tontonan ratusan ribu sebaik sahaja sesi siaran langsung bermula pada pukul 9 malam.
Lebih menarik, produk Rendang Nyet itu telah sekali lagi mencipta fenomena apabila mencapai jualan RM1.8 juta dalam masa tidak sampai dua minit.
Sebelum memecah rekod baharu itu, sebanyak 30,000 pek tunggal rendang berjaya dijual dalam masa 48 saat.
Kejayaan itu mengukuhkan lagi kedudukan anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan tersebut sebagai ikon usahawan digital yang amat dibanggakan.
Memang gila! Tidak kira muda atau tua, lelaki atau wanita, semua tidak mahu terlepas peluang mendapatkan produk terbaharu keluaran syarikat milik Khairul Aming itu.
Bukan itu sahaja, ratusan ribu itu juga ‘berebut’ untuk merasai pengalaman mungkin sekali seumur hidup ‘ditanggung’ Khairul Aming untuk bercuti ke New Zealand.
Ternyata, beliau sangat bijak mengetengahkan ‘jenama’ Khairul Aming itu sekali gus menambat hati rakyat Malaysia.
Bagaimana beliau sampai ke tahap itu? Seorang pempengaruh media sosial yang memberi inspirasi kepada jutaan rakyat Malaysia.
Baca artikel lain: Sudah tiba masa laksana ‘Akta Jalur Gemilang’ lebih tegas

Tentu sekali jalan untuk sampai ke tahap ini tidak mudah. Sudah pasti banyak cabaran dan dugaan, turun naik serta liku hidup dilalui anak muda itu.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Vanderbilt, Amerika Syarikat (AS) itu pada asalnya memulakan kerjaya dalam bidang minyak dan gas.
Namun, keputusan untuk ‘terjun’ secara sepenuh masa dalam arena penghasilan kandungan terutama siri ’30 hari 30 resepi’ setiap kali tiba Ramadan telah mengubah kehidupannya.
Ketika mula menceburi bidang perniagaan, produk Sambal Nyet turut menjadi fenomena dengan jualan tahun pertama mencecah RM8.6 juta!
Produk kedua iaitu Dendeng Nyet Berapi juga mendapat tempat di hati masyarakat apabila beliau mencatatkan sejarah apabila berjaya mencatat angka jualan RM1 juta dalam tempoh 3 minit 39 saat dalam TikTok Shop.
Tidak hanya mahu menonjol seorang diri, naratif ‘kebersamaan’ yang dibawa Khairul Aming dalam setiap langkah perjalanan sama ada perniagaan mahu pun kandungan media sosialnya wajar dipuji.
Beliau sering menampilkan ‘pasukan Khairul Aming’ dalam videonya demi menunjukkan bahawa kejayaan yang dicapai itu bukan atas usaha sendiri semata-mata.
Tidak terhenti di situ, Khairul Aming turut membuat keputusan besar membina kilang di tanah kelahirannya di Kota Bharu demi membuka peluang pekerjaan dan memperkasa anak muda.
Tidak hairanlah sebaik sahaja memenangi anugerah Creator of The Year dalam Anugerah TikTok MY pada tahun 2023, beliau sempat menyampaikan nasihat kepada golongan muda yang bercita-cita sebagai pencipta kandungan supaya mengutamakan pendidikan, jangan sekadar mahu menjadi viral sahaja.
Jadilah ‘pempengaruh’ seperti Khairul Aming membina jenama dan mencipta fenomena dengan ilmu serta menyumbang semula kepada komuniti.
Bukannya ‘pempengaruh’ kosong yang hanya mengejar view dan like semata-mata mahu jadi popular tanpa sebab.
Bak kata Hamka, ‘Hairan melihat setiap hari orang menyisir rambutnya tetapi tidak pernah menyisir otaknya. Memperkemas dadanya tetapi tidak mencuci hatinya. Menggosok kasutnya tetapi tidak akalnya.’
Afiq Mohd Shah ialah Penolong Pengarang Berita UtusanTV
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

