Selamat datang 2023: agenda Bumiputera kembali miskin dan tercicir?

Dari Penulis

SESUNGGUHNYA, rakyat Malaysia menyambut tahun baharu 2023 dengan pelbagai pengalaman baharu.

Pertama, selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) , wakil rakyat yang mereka pilih telah membuat keputusan siapa Perdana Menteri Ke-10, menerajui kombinasi beberapa parti politik dan membentuk kerajaan, dijenamakan sebagai Kerajaan Perpaduan. Dalam pada itu ramai yang nakal, mencuit kononnya ia Kerajaan Perpaduan Yang di-Pertuan Agong.

Kedua, semakin ramai pengundi dalam kalangan bangsa Melayu, menolak UMNO. Dulu ia adalah sebuah parti yang amat gah, menguasai satu kutub politik dan bertahun-tahun memperkerdilkan DAP di satu lagi khutub politik yang bertentangan.

Tidak dapat dibayangkan begini sudahnya nasib UMNO. Kini, ia tunduk menyembah dan pasrah bersekutu dengan DAP, membentuk Kerajaan Perpaduan.

Perihal ini juga didorong oleh PN, yang enggan bersekutu dengan UMNO. Mereka malah turut merancang untuk mengebumikan parti keramat itu setelah berjaya menyingkirkannya di empat buah negeri.

Pengalaman ketiga menjelang tahun 2023 ialah, rakyat bakal merasai corak kepimpinan baharu Perdana Menteri Kesepuluh, setelah tiga Perdana Menteri sebelum ini gagal membina legasi masing- masing.

Sejak tumbangnya kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Keenam, tiga Perdana Menteri selepas itu tidak sempat membina legasi masing-masing.

Belum pernah rakyat mengalami situasi kerajaan silih berganti dalam masa yang amat singkat, dalam satu penggal PRU yang dipendekkan.

Dalam pada itu, negara pula berdepan wabak Covid-19 dan kegawatan ekonomi global yang luar biasa. Poltik bergolak, negara selamat, tetapi ramai rakyat yang merana, sehinggakan kadar bunuh diri misalnya, amat tinggi dalam penggal PRU berkenaan.

Setelah semua calon Perdana Menteri diberi peluang dan pelbagai kombinasi gabungan parti politik diuji, negara ketandusan pilihan. Opsyen terakhir, entahkan akar entahkan rotan, ialah menguji gandingan dua kutub politik yang sekian lama berseteru. PH yang dikuasai DAP, berada dalam keadaan yang semakin kuat kudrat dan iradatnya, bersekutu dengan BN yang dikuasai UMNO, yang semakin lemah dan lemas.

Baca artikel berkaitan: Resolusi tahun baharu. Selamat datang 2023!

Ujian sebenar ialah adakah pemimpin dari kedua-dua kutub ini benar-benar ikhlas boleh bekerjasama, atau mereka akan terus berlakon, seolah-olah nampak akrab pada mata rakyat.

Realitinya, mereka tiada pilihan. Begitu juga rakyat, pun tiada pilihan, mesti reda menerima ketentuan ini dengan hati terbuka dan bersangka baik.

Pengalaman baharu seterusnya ialah cuitan untuk rakyat membina naratif baharu dalam mentafsir semua peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, yang selama ini banyak ditafsirkan berdasarkan andaian atau kefahaman yang superficial.

Belum pernah, dari Perlembagaan itu digubal satu dasar induk negara yang sepatutnya perpetual sifatnya. Ketiadaan dasar ini telah mendorong para pemimpin terdahulu menggubal pelbagai dasar yang lebih mirip kepada pembinaan legasi sesorang pemimpin itu. Bila pemimpin bertukar atau pergi, maka berkuburlah dasar yang dibina di era kepimpinannya.

Pengalaman keempat ini amat mencemaskan sebilangan besar masyarakat bumiputera yang selama ini dijanjikan bulan dan bintang oleh para pemimpin dalam institusi legislatif dan para pentadbir dalam institusi eksekutif.

Hakikatnya, kefahaman mereka itu kabur apakah itu agenda bumiputera yang sebenarnya. Akhirnya kemakmuran dan kesejahteraan bumiputera yang dijanjikan, kembali ke asal, miskin dan tercicir.

Pada hemat kami di MPM, gandingan PH-BN yang membentuk Kerajaan Perpaduan, masih dalam fasa berbulan madu. Semuanya masih manis dan sedang giat membina janji-janji menjinakkan penyokong masing-masing. Mereka perlukan masa untuk membina perpaduan yang realistik, jika itulah hasratnya.

Apa pun, di saat dan ketika ini, kami sering dihujani pelbagai persoalan yang jika hendak diringkaskan kecemasan mereka itu ialah:

  1. Bolehkah dipercayai pemimpin dan kerajaan ini?
  2. Kukuhkah jentera pentadbiran kerajaan untuk terus berfungsi,
    andaikata ketidaktentuan politik berulang? dan
  3. Sampai bilakah campur tangan istana diperlukan untuk
    membentuk atau menstabilkan kerajaan?

Bagi melapangkan dada kami, hendaknya juga dapat melapangkan dada dalam kalangan bumiputera yang cemas, jawapan kami ialah:

Pertama, setiap orang dari kita wajib memahami sebenar-benarnya semua peruntukan terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. Ia adalah satu Perlembagaan yang inklusif untuk semua warganegara.

Jika pun ada peruntukan atau artikel yang memberi advantage atau melindungi bumiputera, hanyalah Artikel 153. Itu pun jika kerajaan dan penjawat awam faham, berani dan komited memperkasakannya.

Jika mereka tidak faham, salah faham atau enggan faham, manakala lain-lain pemegang taruh bumiputera juga tidak faham, salah faham, atau enggan faham, akan berulanglah perlaksanaan pelbagai agenda bumiputera yang selama ini lebih cenderung mencetuskan fenomena diskriminasi menyongsang, iaitu diskriminasi yang direkacipta oleh pelbagai pemegang taruh bumiputera untuk memundurkan bumiputera itu sendiri.

Kedua, setiap orang dari kita bumiputera, wajib membina budaya swatadbirurus tahap cemerlang. Maksudnya, kita wajib mampu mentadbirurus diri kita sendiri untuk lebih siapsiaga, lebih kompeten, lebih berdaya saing dan bersikap lebih oportunis dalam merebut peluang atau mencipta peluang.

Ketiga, bumiputera wajib memahami konsep pengasingan kuasa (separation of power) di antara lima institusi utama dalam pemerintahan negara ini sebagai sebuah negara berdaulat, makmur, sejahtera dan aman damai.

Hatta, sekalipun berlaku ketidaktentuan atau ketidakstabilan politik, lain-lain institusi negara, dipandu oleh Institusi Raja-Raja Melayu, akan terus berperanan sewajarnya,

Jika difahami konsep pengasingan kuasa ini, rakyat tidak akan gusar meneruskan kehidupan dan menerima siapa juga the government of the day.

Akhir kalam, seruan saya ialah usahlah dicampuri urusan politik mereka yang berada dalam institusi legislatif, sekalipun jika ditakdirkan, berulang kemelut pertukaran kerajaan, seperti yang pernah terjadi dalam penggal PRU-14, 2018-2022.

Tahun-tahun yang berlalu sudah pun ditelan zaman. Tahun 2023 ini hendaknya lebih harmoni corak-coraknya, bagi mula mewarnai penggal PRU-15, 2022-2027.

Jika kita boleh terima semua naratif baharu ini, kita boleh menerima dan bekerjasama dengan siapa juga yang membentuk the government of the day.

Doa kita ialah untuk semua mereka yang berada di dalam kerajaan diberikan kekuatan oleh Allah SWT untuk menggalas amanah dan tanggungjawab dengan Bersih, Cekap dan Amanah.

Penulis adalah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM)

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Berkaitan

PRN Johor titik mula transisi kepimpinan lebih muda

GENDANG Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor telah pun dipalu mulai Sabtu lalu. Proses penamaan calon diikuti kempen selama dua minggu...

More Articles Like This