MEMASUKI tahun ketiga penganjuran, aspek keselamatan terus menjadi keutamaan pihak penganjur dalam memastikan Kembara Sahur UtusanTV 2023 berjalan dengan jayanya.
Disertai sekitar 300 orang peserta, kembara kali ini bakal mendapat sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak pengurusan Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).
Penyelenggara Projek Kembara Sahur, Azwan Zeffry Ahmad berkata, dua organisasi tersebut akan mengiringi konvoi di sepanjang laluan yang telah ditetapkan dalam memastikan kelancaran program daripada sebarang perkara tidak diingini.
Katanya, sebagai langkah berjaga-jaga, pihak penganjur turut menyediakan perkhidmatan trak penunda yang mampu membawa tiga buah motorsikal berkuasa besar di sepanjang perjalanan pergi dan pulang.

“LATAR akan iringi sepanjang kita guna lebuh raya mereka iaitu yang berakhir di persimpangan Ijok. Saya sudah tulis surat pada PDRM, Insya-Allah daripada sana pihak polis trafik akan sambut kita ikut jalan lama.
“Biasanya konvoi kelajuan itu tak tinggi sangat, kalau di lebuh raya sekitar 120 sehingga 140 (kilometer sejam), manakala di jalan biasa sekitar 80 ke 100 sahaja,” katanya ketika dihubungi UtusanTV, hari ini.
Baca artikel lain: Kembara Sahur UtusanTV 2023 sasar penyertaan 300 ‘biker’
Azwan Zeffry atau lebih dikenali sebagai One R berkata, sekiranya berlaku hujan sebelum konvoi bermula, program mungkin akan dilewatkan sehingga keadaan difikirkan sesuai bagi memulakan perjalanan.
Namun begitu, ujarnya, sekiranya hujan turun ketika konvoi berlangsung, perjalanan akan diteruskan sehingga ke destinasi yang dituju.
“Menunggang pada waktu malam lebih selesa (berbanding siang) tak panas, tapi daripada segi keselamatan memang kena tingkatkan sikit sebab penglihatan kurang dan sebab itu kita kurangkan kelajuan.
“Bila buat iftar kurang sikit sambutan sebab masanya pendek, sahur ini kalau nak berkumpul, jumpa kawan-kawan masa dia panjang sikit, sebab itu kita tak pilih waktu iftar,” katanya yang turut dibantu Azhar Paat atau AP sebagai pengarah koordinator.
Buat tahun ketiga berturut-turut, UtusanTV dengan kerjasama rakan komuniti motosikal berkuasa tinggi, FunRideRider menganjurkan program Kembara Sahur.
Program tahun ini melibatkan perjalanan sejauh kira-kira 120 kilometer satu hala dengan peserta akan berkumpul pada pukul 10.45 malam 14 April di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Kundang arah Barat.
Konvoi kemudiannya akan bergerak pada pukul 11.15 malam dengan lokasi akhir adalah di Ley-park Station @ Sabak di Sabak Bernam.
Seperti penganjuran pada tahun-tahun sebelum ini, Kembara Sahur UtusanTV 2023 turut menyelitkan tazkirah, sedekah dan juga persembahan busking.
FunRide adalah sebuah komuniti permotoran tanpa berasaskan model khusus yang aktif menganjurkan konvoi bermotosikal dengan normal baharu dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP).
Kembara Sahur UtusanTV ini dilaksanakan susulan acara tahunan fun ride sejak tahun 2013 setiap kali tibanya bulan Ramadan.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan wartawan di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 18 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2022, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak/penyiaran/portal lain sejak tahun 2008.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama (perkembangan semasa/politik/sukan).

