PELAKON, Puteri Sarah mendedahkan lafaz cerai yang sepatutnya berlaku hari nii di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur tidak dapat di laksanakan berikutan suaminya iaitu pengarah sensasi Syamsul Yusof meminta diskaun bagi nafkah anak dan penarikan kes saman terhadap isteri keduanya, Ira Kazar.
Menurut Puteri Sarah, persetujuan untuk melafazkan cerai serta terma-terma yang ditentukan telah dicapai namun perkara sebaliknya berlaku apabila mereka berbincang melalui proses perdamaian (SULH).
Antara terma-terma penyelesaian yang dipersetujui adalah hadanah, nafkah anak, mutaah dan harta sepencarian.
“Mula-mula kami memang dah capai persetujuan untuk segala terma dan syarat yang telah ditentukan, tiba-tiba dia meminta pengurangan jumlah nafkah anak-anak. Saya juga diminta untuk tarik kes Ira Kazar dan keluarganya jika saya mahu diceraikan.
“Saya tetap dengan pendirian yang saya akan berjuang demi anak-anak. Pengurangan amaun nafkah dan penarikan kes itu adalah melampau!
“Saya minta dia bayar amaun nafkah anak-anak pun ansuran, bukan sekaligus,” katanya kepada URTV.
Dalam pada itu, pelakon berusia 38 tahun itu menegaskan permintaannya hanyalah demi anak-anak, tiada tuntutan untuk dirinya dan ia turut mencapai kata sepakat oleh dua-dua belah pihak keluarga.
“Saya buat keputusan, saya beritahu kepada ayah dan ibu mentua dan juga ibu bapa saya sendiri. Ibu mentua saya mengatakan amaun yang saya tuntut untu anak-anak adalah sikit tapi saya sememangnya minta nafkah mengikut kemampuan Syamsul.
“Saya pun tak tuntut harta sepencarian pada Syamsul kerana saya sendiri pun bekerja, boleh tanggung diri sendiri,” ujarnya.
Namun begitu, Puteri Sarah tidak kisah sekiranya kes ini masih berlarutan kerana dia tetap dengan pendirian untuk berjuang demi anak-anak dan ada lagi bukti yang belum dikongsikan.
“Saya okay sahaja kes ini dipanjangkan lagi sampai tahun ke-30 pun saya sanggup.
“Saya tahu saya di jalan yang benar. Saya memang berjuang demi anak-anak dan ada lagi bukti lain yang belum dikeluarkan.
“Saya akan pertimbangkan mana-mana kes yang patut ditarik balik, bukan semua kes tapi bab nafkah anak dan tarik kes Ira Kazar sekeluarga, saya sama sekali tidak setuju,” tegasnya.
Puteri Sarah berkata demikian ketika ditemui pemberita di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur untuk kes lafaz cerai bersama suaminya, Syamsul Yusof, 39.
Selain itu, peguam yang mewakili Puteri Sarah iaitu Datuk Akberdin Abdul Kader menyatakan 25 Mei ini merupakan tarikh baru untuk memanggil pegawai Jawatankuasa Pendamai (JKP) bagi memberikan penjelasan tentang prosedur tersebut.
Pada 7 Mac yang lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan oleh Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur untuk melantik wakil JKP (anggota keluarga yang rapat) untuk memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian bagi kemelut rumahtangga mereka.
Mengikut prosiding terdahulu, tarikh hari ini merupakan tarikh lafaz cerai dari Syamsul untuk Sarah yang dimohon oleh pelakon drama Sabarlah Duhai Hati pada 10 April lalu.
Untuk rekod, Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Summayah yang kini berusia empat tahun.

