TETAP ingin meneruskan saman terhadap Ira Kazar antara punca pengarah sensasi, Syamsul Yusof,39, enggan melafazkan cerai terhadap isteri pertamanya iaitu Puteri Sarah Liyana,38, ketika prosiding yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persektuan, Kuala Lumpur, hari ini.
Selain itu, permohonan untuk mengurangkan jumlah nafkah bagi dua anak mereka daripada pihak Syamsul juga tidak mendapat persetujuan Puteri Sarah.
Peguam syarie yang mewakili Syamsul iaitu Mohd Azmi Rais berkata, Puteri Sarah meminda beberapa terma dalam draf persetujuan yang dicapai sebelum ini menerusi satu pertemuan di antara kedua belah pihak.
“Apabila diserahkan draf persetujuan, kami dapati terdapat perubahan antaranya Puteri Sarah masih ingin meneruskan tindakan saman terhadap Ira Kazar dan keluarganya.
“Puteri Sarah juga meminta jumlah mutaah yang tinggi dan ia tidak dipersetujui oleh Syamsul. Bagaimanapun, kami ada mencadangkan beberapa terma lain, tetapi tidak dipersetujui.
“Jadi, dari segi penyelesaian tidak ada dan itu adalah punca kenapa kes ini masih berlanjutan,” katanya kepada URTV.
Pada prosiding terdahulu, kemelut rumah tangga pasangan sensasi ini dijangka bakal berakhir apabila Syamsul bersetuju melafazkan talak terhadap Puteri Sarah pada hari ini.
Perkara itu disahkan oleh peguam syarie mewakili Puteri Sarah, Datuk Akberdin Abdul Kadir selepas prosiding sebutan kedua laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di mahkamah sama pada 10 April lalu.
Mahkmah menetapkan prosiding lafaz cerai dibuat hari ini selepas peguam syarie yang mewakili kedua-dua pihak memaklumkan terdapat perkembangan baharu dan penyelesaian.
Bagaimanapun terma-terma penyelesaian akan dimaklumkan pada tarikh tersebut yang mana ia akan direkodkan.
Antara terma-terma penyelesaian yang dipersetujui ialah hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepencarian.
Sementara itu, Syamsul ketika ditemui tidak mahu memberi sebarang komen, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada peguam untuk mengeluarkan sebarang kenyataan bagi pihaknya.
“Apa yang jadi hari ini itulah keputusannya. Saya hanya mengikut prosedur mahkamah. Saya reda dengan apa yang terjadi dan teruskan sahaja,” kata Syamsul.
Berikutan tiada lafaz cerai daripada Syamsul, prosiding akan diteruskan dengan laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di hadapan Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas pada 25 Mei hadapan.
Dalam prosiding terdahulu, mahkamah sama menetapkan hari ini untuk Syamsul melafazkan cerai terhadap Puteri Sarah secara baik mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.
Pada 7 Mac lalu, Syamsul dan Puteri Sarah diperintahkan Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur melantik wakil JKP dalam kes permohonan perceraian mereka.
Hakim Syarie Akmaluddin Ilyas memerintahkan demikian selepas kes disebut di hadapannya dengan dihadiri kedua-dua pihak.
Proses JKP membabitkan anggota keluarga yang rapat dengan pasangan dan dilantik bagi memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan perceraian di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 pada 16 Januari lalu.
Puteri Sarah dilaporkan memfailkan tuntutan cerai selepas krisis rumah tangga sejak empat tahun lalu gagal menemui jalan terbaik, selain enggan bermadu selepas Syamsul membuat pengakuan bernikah dengan Ira Kazar sebagai isteri kedua, awal tahun ini.
Untuk rekod, Puteri Sarah dan Syamsul mendirikan rumah tangga pada 8 Mac 2014.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan dua cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Summayah yang kini berusia empat tahun.

Penulis merupakan Pengarang URTV di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama lebih 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal lain sejak tahun 2014.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan indsutri seni hiburan dalam dan luar negara.

