LIMA pegawai Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar dilaporkan telah ditamatkan perkhidmatan manakala seorang lagi diarahkan bertukar jabatan.
Menurut laporan Malaysiakini yang memetik sumber, penamatan kontrak lima pegawai Sivakumar itu adalah berkuat kuasa serta-merta.
Laporan tersebut memaklumkan, tindakan berkenaan bagi membersihkan imej kementerian itu yang dicemari dakwaan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan pegawai pejabat menteri.
Bagaimanapun, sumber tersebut berkata, bukan semua pegawai yang ditamatkan kontrak itu berkaitan dengan siasatan dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Sebanyak lima pegawai ditamatkan kontrak manakala satu lagi ditukar ke JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam).
“Ini termasuk dua pegawai yang baru-baru ini ditahan SPRM.
“Setahu saya, dua pegawai telah pun menerima surat pemberitahuan penamatan kontrak dan ditukar jabatan. Yang lain, saya tak beberapa pasti (dah terima surat atau belum).
“Ada yang ditamatkan kontrak kerana terkait siasatan SPRM. Namun ada juga kerana prestasi kerja,” katanya.
Baca artikel berkaitan: Sivakumar patut bercuti, nasihat Hassan Karim
SPRM sebelum ini menyerbu pejabat kementerian itu di Putrajaya dan menahan seorang pegawai kanan Sivakumar.
SPRM turut menahan setiausaha sulit Sivakumar berhubung siasatan rasuah itu. Dia ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan.
Selain itu, seorang ahli perniagaan dari Ipoh turut ditahan dalam siasatan yang dikatakan melibatkan rasuah bernilai RM97 juta.
Difahamkan siasatan SPRM turut bertumpu kepada individu lain dalam kementerian dan agensi berkaitannya.
Susulan itu, Sivakumar telah menggantung tugas tiga pegawai kanannya, termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan SPRM.
Namun, selepas tamat reman, tempoh penggantungan seorang pegawai dikekalkan. Sementara dua lagi mengambil cuti sehingga tamat siasatan tersebut.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram