MENTERI Sumber Manusia, V Sivakumar sewajarnya menunjukkan contoh teladan yang positif dengan sekurang-kurangnya bercuti daripada tugas sebagai menteri sehingga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai menjalankan siasatan.
Nasihat itu dinyatakan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dalam catatan di Facebook beliau, hari ini.
Menurut Hassan, Sivakumar tentunya lebih faham tentang prinsip ‘tanggungjawab kolektif’ dan ‘tanggungjawab menteri’ dalam fungsi kerja Jemaah Menteri atau Kabinet Kerajaan Persekutuan.
Kata beliau, setiap menteri mesti ada tanggungjawab sendiri untuk menjaga nama baik kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang amat jelas sedang melakukan tindakan membanteras amalan rasuah dalam jentera kerajaan.
“Saya membuat kenyataan media ini sebagai seorang ahli Parlimen penyokong Kerajaan Perpaduan dan sebagai seorang anggota Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang bertugas sebagai badan pemantau SPRM.
“Jangan tunggu Perdana Menteri mengarahkan supaya menteri yang terpalit kementeriannya dengan rasuah supaya bercuti atau pun meletakkan jawatan,” katanya dalam kenyataan itu.
Baca artikel berkaitan: Tiada arahan supaya Sivakumar bercuti – Anthony Loke
Mengulas lanjut, Hassan berkata, walaupun Sivakumar bukannya suspek, namun fakta bahawa beliau telah dipanggil dua kali untuk disiasat SPRM bukan sesuatu yang ‘molek’ bagi imej Kabinet Kerajaan Madani.
Beliau juga percaya Sivakumar berjiwa besar dan mempunyai kesedaran yang jernih serta mulia.
“Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga. Sebagai seorang ahli Parlimen dan pemimpin politik yang berpengalaman adalah terhormat bagi V Sivakumar mengambil tindakan tepat.
“Saya tidak mendesak atau menyeru beliau meletakkan jawatan sekarang. Sekurang-kurangnya eloklah pada waktu ini beliau bercuti dahulu dari tugas sebagai seorang menteri,” katanya.
SPRM menyoal siasat Sivakumar selama dua kali pada 16 dan 17 April lalu sebagai sebahagian siasatannya ke atas pengambilan pekerja asing.
Seorang pembantunya digantung tugas, manakala dua lagi kembali bekerja selepas ketiga-tiganya ditahan SPRM seminggu lalu berhubung siasatan atas pengambilan pekerja asing.
Semalam, FMT memetik sumber berkata, pembantu yang digantung tugas itu dibayar gaji oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan penggantungan tugasnya dibuat mengikut prosedur.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

