KONTINJEN Polis Diraja Malaysia (PDRM) menepati ramalan menguasai kebanyakan kategori dalam Kejohanan Tembak RMP Open Championship 2023 Level III yang berakhir hari ini.
Dalam kejohanan yang berlangsung sejak 1 Mei lalu di Kelab Menembak Sasaran Shapadu (KMSS), Putrajaya itu, PDRM berjaya mengungguli beberapa kategori termasuk kategori Production berpasukan; Production Shoot Off Individu; Production Wanita Individu; Production Optic Individu dan Production Optic Berpasukan.
Kontinjen PDRM turut memenangi kategori Production Optic Shoot Off Individu; Standard Berpasukan dan Open Berpasukan.
Dalam pada itu, Batalion 11 Pasukan Gerakan Am (PGA), Batu Kawa, Sarawak yang dianggotai Inspektor Ibi Anak Nisau; Sarjan Mohd Fadzlee Md Farid dan Koperal Md Nalrin Jakaria berjaya menggondol acara Berpasukan bagi Piala Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Keselamatan Awam (KDNKA).
Pasukan Batalion 11 PGA Batu Kawa itu menewaskan pasukan PSK Bukit Aman di tempat kedua dan Batalion PGA, Lahad Datu Sabah yang menduduki tangga ketiga.
Selain pingat, pasukan itu turut membawa pulang piala pusingan Piala Pengarah Jabatan KDNKA.
Sementara itu, pasukan BDE Sabah PGA dianggotai Superintendan Victor Cardona; Sarjan Salang Anak Kasau; Koperal Rayner Mailam dan Koperal Bonney @ Boy Anang pula menguasai kategori Berpasukan Piala Ketua Polis Negara.
Pasukan tersebut menewaskan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di tempat kedua dan Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di tangga ketiga.

Baca artikel berkaitan: PDRM mahu naik taraf RMP Open Championship ke Level V
Bercakap kepada UtusanTV, Victor yang mewakili pasukannya tidak dapat menyembunyikan perasaan gembira apabila berjaya memenangi Piala Ketua Polis Negara buat kali pertama.
Beliau berkata, keputusan yang dicapai itu membuktikan segala persiapan dan latihan yang dilakukan membuahkan hasil.
“Kami telah mula melakukan latihan sejak dua ke tiga bulan lalu. Walaupun terpaksa membahagikan antara tugasan dan latihan, namun ia tidak menghalang kami bersungguh-sungguh sehingga berjaya memenangi piala ini.
“Kami akan kembali tahun hadapan bagi mempertahankan piala ini,” katanya.
Untuk rekod, Kejohanan Tembak RMP Open Championship 2023 Level III berlangsung selama tujuh hari sehingga hari ini.
Kejohanan tersebut turut mendapat sokongan daripada Konfiderasi Menembak Praktikal Antarabangsa (IPSC) Malaysia dan World IPSC bagi kelulusan penganjuran pertandingan mengikut format antarabangsa.
Lebih menarik, kejohanan berkenaan juga mencipta sejarah tersendiri apabila tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai kejohanan menembak yang menerima penyertaan peserta paling ramai.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

