Bekas pemain Australia, Tim Cahill mencabut undian untuk pasukan Malaysia dalam majlis undian Piala Asia 2023.

TUGAS sukar menanti Malaysia apabila bakal bertemu juara dua kali, Korea Selatan dalam Kumpulan E untuk menghadapi Piala Asia 2023, tahun hadapan.

Dalam majlis undian yang dilangsungkan di Katara Opera House, Qatar sebentar tadi, Harimau Malaya turut diletakkan bersama pasukan di ranking ke-84 dunia iaitu Jordan.

Skuad bimbingan Kim Pan Gon itu juga bakal membuat perhitungan dengan Bahrain dalam Kumpulan E.

Selepas 43 tahun tidak berjaya lolos secara merit, Piala Asia 2023 dijadualkan pada 12 Januari hingga 10 Februari 2023 menjadi medan terbaik Harimau Malaya memberikan saingan di peringkat tertinggi.

Malaysia yang berada di ranking ke-138 dunia sebelum itu diletakkan dalam Balang 4 bersama-sama India, Tajikistan, Thailand, Hong Kong dan Indonesia.

Sementara itu, dalam kumpulan lain, tuan rumah Qatar akan membuka tirai saingan Piala Asia 2023 menentang China dengan Tajikistan dan Lubnan melengkapkan pasukan dalam Kumpulan A.

Baca artikel berkaitan: Piala Asia 2023: Debaran terasa, Harimau Malaya di kumpulan mana?

Senarai penuh peringkat kumpulan bagi Piala Asia 2023 di Qatar

Kumpulan B pula menyaksikan juara edisi 2015, Australia diletakkan bersama Uzbekistan, Syria dan India.

Juara tiga kali, Iran pula berdepan laluan ranjau apabila diundi dalam Kumpulan C bersama Emiriah Arab Bersatu (UAE); Hong Kong dan Palestin.

Sementara itu, satu lagi gergasi Asia, Jepun bersama juara edisi 2007, Iraq bakal membuat perhitungan dengan wakil Asia Tenggara iaitu Indonesia dan Vietnam dalam Kumpulan D.

Satu lagi wakil Asia Tenggara iaitu Thailand pula berada dalam Kumpulan F bersama-sama Arab Saudi; Republik Kyrgyz dan Oman.

Majlis undian tersebut disempurnakan Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor John.

Beliau turut dibantu legenda Australia, Tim Cahill; bekas pemain terbaik Asia dua kali, Server Djeparov; bekas pemain Manchester United, Park Ji-Sung dan kapten Qatar, Hassan Al-Haydos.

Selain itu, majlis undian berkenaan turut dibantu pengadil wanita Jepun, Yoshimi Yamashita; Ketua Jurulatih bawah 20 India, Maymol Rocky dan legenda bola sepak wanita China, Sun Wen.

Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram