TINDAKAN Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini didakwa memburukkan imej Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki disifatkan hanyalah retorik politik semata-mata.
Ketua Penerangan Pas, Khairil Nizam Khirudin berkata, ia dapat dibuktikan apabila PH yang ketika ini berada dalam kerajaan telah mengekalkan jawatan Azam untuk tempoh setahun akan datang.
Menurut beliau, tindakan tersebut adalah bukti jelas bahawa segala apa yang difitnah, dikeji dan maki ketika musim berkempen hanya tuduhan tanpa bukti semata-mata.
Khairil Nizam berkata, sehingga kini PH tidak dapat membuktikan bahawa Azam bersalah seperti yang telah didakwa.
“Masih segar dalam ingatan semua mengenai satu perhimpunan jalanan bersejarah yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tangkap Azam Baki pada 22 Januari tahun lalu yang menuntut Azam ditangkap dengan serta-merta oleh agensi penguat kuasa, proses undang-undang ke atas beliau bermula dengan segera dan SPRM dirombak serta diletakkan di bawah Parlimen.
“Antara tokoh politik yang hadir pada ketika itu pula ialah Ketua Pemuda Amanah, Hasbie Muda dan Ketua Pemuda AMK pada hari ini merangkap Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli. Sebahagian ucapan Adam Adli dalam himpunan tersebut berbunyi, “Isu Azam Baki soal institusi, sudah rosak sampai ke akar”.
Baca artikel berkaitan: Pelantikan semula Azam Baki tolak persepsi buruk – Pas
“Tidak lupa juga kita dengan ucapan pemimpin PKR yang menjadi menteri ketika ini, Rafizi Ramli dalam Ceramah Mega PH di Johor Bahru ketika kempen PRU Ke-15 mengugut bahawa PH akan ‘cari’ Tan Sri Azam Baki berhubung isu pegangan sahamnya sebelum ini jika PH memenangi PRU Ke-15.
“Komitmen serta dedikasi mereka (PH) untuk memburukkan imej serta mengheret Azam ke muka keadilan sebelum ini adalah amat luar biasa. Namun apabila PH berada di dalam kerajaan, apa yang berlaku adalah sebaliknya,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Sehubungan itu, Khairil Nizam yang juga Ahli Parlimen Jerantut menyeru rakyat Malaysia supaya tidak lagi mempercayai kata-kata fitnah serta janji PH bersama sekutunya, Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
“Kita tidak boleh biarkan pemimpin yang mengamalkan budaya fitnah memfitnah, mungkir janji, tidak konsisten dalam berpendirian terus mentadbir negara kita.
“Kembalilah kepada politik yang matang dan sejahtera iaitu politik nilai dan politik mengutamakan kepentingan rakyat,” jelas beliau.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

Penulis merupakan Penolong Pengarang Berita di UtusanTV. Mempunyai pengalaman luas selama 10 tahun dalam dunia kewartawanan sama ada media cetak mahu pun digital.
Sebelum menyertai UtusanTV pada tahun 2021, penulis pernah bertugas di beberapa syarikat media cetak dan portal berita lain sejak tahun 2016.
Sepanjang kerjaya, penulis mempunyai kemahiran menulis dan membuat liputan tentang pelbagai isu terutama perkembangan semasa, politik dan ekonomi.

