BEKAS Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa kerajaan supaya mewujudkan kaedah pelepasan bersyarat yang lebih fleksibel bagi membantu seseorang boleh dilepaskan dari status kebankrapan.
Beliau berkata, kaedah itu boleh dilakukan syarat-syarat dan perjanjian tertentu agar lebih ramai individu dapat kembali membina kehidupan tanpa dibebani proses pelepasan status bankrap yang terlalu lama.
Katanya, kebankrapan adalah satu bentuk hukuman dan bukan satu skim pembayaran semula, maka sekiranya si bankrap telah menjalani hukuman pada suatu tempoh tertentu, maka seharusnya pelepasannya dari status kebankrapan disegera dan dipermudahkan, tanpa melihat pada nilai atau jumlah hutang am yang difailkan.
Beliau berkata, ketika negara dilanda wabak COVID-19, kerajaan Perikatan Nasional telah mengambil pelbagai langkah bagi memastikan bebanan rakyat dikurangkan termasuk meluluskan satu akta baharu yang dinamakan “Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020” [Akta 829] atau singkatnya Akta COVID-19.
“Akta tersebut telah diwartakan dan mula berkuatkuasa mulai 23 Oktober 2020. Kerajaan sewaktu di bawah kepimpinan saya telah memastikan banyak langkah diluluskan dalam Akta tersebut, di antara langkah yang signifikan ialah had ambang penghakiman yang membolehkan seseorang diisytiharkan bankrap dinaikkan daripada RM50,000 kepada RM100,000,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks perbahasan ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Insolvensi (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat hari ini.
BERITA BERKAITAN Trend kes muflis menurun, tindakan bankrap jalan terakhir institusi kewangan – Gabenor
Katanya, langkah-langkah strategik tersebut yang telah diambil oleh Kerajaan Perikatan Nasional pada saat-saat getir dalam mengharungi pandemik COVID-19, ternyata telah menyelamatkan ramai individu – rakyat Malaysia, daripada berdepan dengan masalah kebankrapan.
“Menurut statistik Jabatan Insolvensi Malaysia (MdI) antara tahun 2019-2023, orang Melayu mencatatkan kes bankrap tertinggi sebanyak 58.28 peratus, manakala Cina (24.96 peratus), India (7.91 peratus) dan lain-lain (8.67 peratus).
“Justeru, apakah perancangan khusus yang diambil oleh kerajaan terhadap kes kebankrapan melibatkan hutang melebihi RM50,000, memandangkan hanya sekitar 130,000 (50 peratus) orang daripada 260,000 kes bankrap yang layak untuk mendapat pelepasan kebankrapan mereka?
“Walaupun secara dasarnya pindaan terhadap Seksyen 33B(2A) Akta 360 menambah 2 kategori pelepasan bankrap baharu tanpa bantahan pemiutang, namun penekanan khusus juga harus diberi oleh kerajaan terhadap usaha membantu individu muflis untuk bangkit dan membina semula ekonomi,” katanya.
Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, tindakan tersebut penting supaya status kebankrapan tidak kekal sepanjang hayat, sebaliknya menjadi pembakar semangat kepada golongan itu untuk menyumbang kepada ekonomi negara.
“Antaranya mengkaji semula proses pelepasan bankrap bagi warga Malaysia yang bekerja di luar negara, yang mungkin mengambil masa yang lama untuk mendapatkan perintah mahkamah sebelum memohon keizinan daripada Jabatan Imigresen,” katanya.
Muhyiddin seterusnya berkata, berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia, faktor terbesar kes kebankrapan adalah pinjaman peribadi dengan jumlah kes 20,754 iaitu mewakili 42.24% daripada keseluruhan faktor kebankrapan yang dilaporkan.
“Selain itu, pinjaman sewa beli kenderaan menyum bang 7,072 kes iaitu 14.39%. Kerajaan wajar meneliti cadangan CUEPACS tentang had tempoh bayaran pinjaman peribadi dan sewa beli kenderaan supaya ia dapat dipanjangkan dari 10 tahun kepada 20 tahun, bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat,” katanya.
Beliau turut juga membangkitkan isu keberkesanan kawal selia penyedia kredit dan perkhidmatan kredit bukan bank seperti perkhidmatan Buy Now, Pay Later (BNPL) bagi melindungi pengguna, khususnya di kalangan belia agar mereka tidak terjerat dengan hutang, memandangkan Akta Kredit Pengguna masih belum dibentang pada ketika ini.
“Ini kerana perkhidmatan BNPL yang kebanyakannya berkait dengan platform e-dagang ini mengenakan kadar caj yang tinggi jika terlewat bayar ansuran bulanan. Malah, kadar caj atau faedah BNPL ini juga boleh dikatakan lebih tinggi berbanding kadar caj untuk kad kredit,” katanya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

