MENTERI Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mempertahankan kenyataannya sebelum ini bahawa ketidakstabilan politik negara merupakan salah satu punca menyebabkan prestasi atlet negara terutama di temasya Sukan SEA Kemboja 2023 baru-baru ini merosot.
Hannah menjelaskan, pertukaran tiga Perdana Menteri serta Menteri Belia dan Sukan sejak empat tahun lalu telah membuatkan persiapan sukan terjejas terutama dari segi bajet dan pertukaran ahli lembaga pengarah.
Mengemukakan fakta tersebut di Dewan Rakyat, Hannah mendedahkan seramai 220 atlet tidak dapat meneruskan latihan tahun lalu kerana tiada peruntukan khusus yang diberikan.
“Dalam butiran Belanjawan 2022 yang dibentangkan pada Oktober 2021, tidak dinyatakan peruntukan diberikan kepada program Podium untuk tahun 2022.
“Perkara ini telah menyebabkan Majlis Sukan Negara (MSN) terpaksa menyusun semula program persediaan atlet ke arah temasya sukan utama bagi tahun 2022.
“Kesannya, seramai 220 atlet tidak dapat meneruskan latihan memandangkan tiada peruntukan khusus dan pada masa sama, MSN terpaksa mengagihkan dan menggunakan peruntukan dalaman bagi memastikan elaun latihan atlet serta gaji jurulatih diteruskan tanpa penangguhan.
“Keadaan ini berlarutan bagi tempoh dua bulan dari Januari hingga Februari 2022,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) yang memintanya menjelaskan tentang kenyataan bahawa ketidakstabilan politik menjadi punca prestasi buruk negara di Sukan SEA Kemboja 2023.
Baca artikel berkaitan: Sukan SEA: Atlet naturalisasi, gangguan seksual antara sebab Malaysia gagal capai sasaran
Mengulas lanjut, Hannah menegaskan, beliau tidak mahu meletakkan kesalahan kepada persatuan sukan ekoran kegagalan atlet itu kerana menyifatkan ia sebagai tindakan tidak bertanggungjawab.
“Saya ada bincang dengan atlet dan persatuan, betul mereka menyatakan dalam empat tahun ini (mereka terkesan), sementara kita sibuk di sini berpolitik dan negara-negara jiran maju ke depan.
“Kita mesti memperakui dalam empat tahun lepas selepas Langkah Sheraton, memang ada banyak usaha yang kerajaan telah lakukan pada masa itu untuk membantu ekonomi dan pendidikan, (tetapi) semuanya terganggu kerana ketidakstabilan politik,” jelas beliau.
Sebelum ini, Hannah mendedahkan kestabilan politik turut memberi impak kepada kegagalan kontinjen negara di pentas Sukan SEA Kemboja 2023.
Malaysia menutup tirai temasya dwitahunan di Phnom Penh dengan membawa pulang 34 emas, 45 perak dan 96 gangsa untuk berada di tangga ketujuh keseluruhan sekali gus gagal mencapai sasaran diletakkan iaitu 40 emas.
Pencapaian itu adalah yang terburuk buat negara di Sukan SEA dan pungutan emas paling rendah dalam tempoh 20 tahun sejak di Hanoi, Vietnam 2003.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram