SYARIKAT telekomunikasi bakal mengumumkan beberapa berita baik berkaitan pelaksanaan rangkaian 5G negara pada hujung bulan ini, kata Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.
Berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) hari ini, beliau berkata syarikat telekomunikasi telah menandatangani perjanjian akses untuk membolehkan mereka menepati perkhidmatan 5G.
“Jadi saya harap menjelang 30 Jun ini kita akan ada beberapa pengumuman baik dan penting dari kalangan syarikat telekomunikasi. Mereka akan bersama dalam Digital Nasional Bhd (DNB) dan pemegang ekuiti,” katanya.
Setakat Mei lepas, Fahmi berkata pencapaian pelaksanaan 5G di bawah DNB telah mencapai 62.1 peratus dan ia satu perkara yang membanggakan.
Beliau berkata mesyuarat pasukan petugas 5G yang dipengerusikan bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha KKD Datuk Mohamad Fauzi Md Isa turut diadakan hari ini bagi memastikan pelaksanaaan rangkaian 5G mengikut aturan ditetapkan.
Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan memutuskan untuk menukar model pelaksanaan 5G ketika ini kepada dwirangkaian sebaik sahaja pelaksanaan semasa di bawah DNB mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.
Menurutnya, peralihan kepada model dwirangkaian itu akan dilaksanakan berpandukan syarat yang selari dengan amalan di peringkat global yang menawarkan kepelbagaian rangkaian.
Baca artikel lain: ‘Kerajaan tidak bercadang untuk menambat nilai ringgit’ – Ahmad Maslan
Mengenai keputusan kerajaan supaya Rang Undang-undang Keselamatan Siber digubal segera, Fahmi berkata perkara itu akan diusahakan oleh Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) manakala tugas dan fungsi CyberSecurity Malaysia (CSM) akan diperjelas supaya tidak berlaku pertindihan.
“Ini penting kerana di mana-mana negara perlu ada badan kawal selia industri keselamatan siber. Di Malaysia kita menuju ke arah itu dan ini akan diusahakan bersama NACSA.
“Insya-Allah kita harapkan NACSA sebagai badan kawal selia atau entiti yang ambil alih nanti bila akta keselamatan siber ada manakala CSM memainkan peranan sebagai agensi penting bagi memastikan keselamatan siber di Malaysia terkawal dan terjamin,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Jun lepas berkata Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Negara memutuskan agar satu Rang Undang-undang Keselamatan Siber digubal segera bagi memastikan segenap aspek perundangan yang berkaitan dapat dituntaskan.
— BERNAMA
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

