DAKWAAN kononnya Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin tidak ‘sebulu’ disifatkan spekulasi jahat menjelang pilihan raya negeri (PRN).
Sebaliknya, Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu menjelaskan tiada sebarang krisis dalaman yang berlaku antara Muhyiddin dan Hamzah.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu turut menyifatkan dakwaan itu sebagai satu laporan berniat jahat.
Menurut Ahmad Faizal, sekiranya laporan itu dibuat dengan memetik sumber, ia jelas tidak beretika dan berniat jahat terhadap Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
“Laporan itu (berniat) jahat. Buat berita dan hanya memetik sumber. Tidak beretika,” katanya seperti dilaporkan BH Online.
Pagi tadi, sebuah portal berita melaporkan Muhyiddin dan Hamzah tidak sebulu serta berselisih pendapat mengenai hala tuju parti itu.
Khabar angin tersebut tercetus susulan laporan yang mencadangkan bahawa PN bakal menggantikan Hamzah dengan individu lain sebagai Ketua Pembangkang.
Dua nama dikatakan berada dalam pertimbangan menggantikan Hamzah iaitu Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim atau Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor.
Laporan itu turut menyebut bahawa punca Muhyiddin dan Hamzah tidak sebulu adalah disebabkan peranan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam parti tersebut.
Baca artikel berkaitan: Kerjasama PH-BN berbeza banding dengan Bersatu
Mohamed Azmin, dikatakan sedang dipersiapkan untuk menjadi ‘poster boy’ akan datang untuk Bersatu dan terlibat dalam beberapa perbincangan peringkat tertinggi yang tidak melibatkan Hamzah.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris menegaskan, spekulasi itu merupakan cubaan pihak tertentu yang sengaja dicetuskan menjelang PRN untuk memburukkan parti itu dan PN.
Katanya, sebelum ini ada cubaan melaga-lagakan parti komponen dalam PN, kini selepas gagal mereka mereka cerita kononnya wujud krisis dalaman dalam BERSATU.
“Saya melihat ini cerita mengadu domba, yang mana baru-baru ini mereka cuba melagakan komponen PN dan kini mereka sentuh kepimpinan BERSATU pula.
“Sebenarnya, tiada sebarang perbalahan dan tiada sebarang krisis dalam ketika ini dan diakui semua Hamzah seorang Ketua Pembangkang yang cemerlang dalam menjalankan tugasnya
“Mana mungkin Setiausaha Agung PN dan Bersatu berlaku konflik kepentingan dengan Pengerusi PN dan Presiden Bersatu. Jika bergaduh, macam mana mereka hendak bekerja,” tegasnya.
Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’
Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTok, Facebook, Twitter, Instagram & Telegram

