Karya Malaysia menonjol pada Majlis Anugerah Pertandingan Filem Pendek Cegah Penipuan di Beijing

Dari Penulis

SEDAR akan keperluan tingkatkan kesedaran penipuan atau ‘scam’, sebuah syarikat dari Malaysia iaitu SunStrong Entertainment telah menganjurkan Pertandingan Filem Pendek Cegah Penipuan (Scam Prevention Short Film Contest) yang meletak titik noktah susulan majlis penganugerahan di Beijing, China baru-baru ini.

Ia menyaksikan hadiah wang berjumlah AS$128,000 (RM590,656) dianugerahkan kepada pemenang, malah kebanyakkannya merupakan karya warga Malaysia.

Pertandingan antarabangsa anjuran bersama Horizon Corporate Volunteer Consultancy (HCVC) dari China ini yang membuka tirai pada bulan November tahun lalu telah menerima sebanyak 59 dan 29 permohonan bagi Kategori Terbuka dan Kategori Pelajar masing-masing.

10 karya kemudian disenarai pendek untuk setiap kategori. Bertemakan ‘Sumbang Bakat, Cegah Penipuan’, pertandingan ini merupakan jalinan antara rakyat Malaysia dan rakyat China dalam bidang seni untuk tujuan bersama yang turut terserlah ketika persembahan gabungan tarian tradisional Melayu dan tarian kipas tangan Cina pada majlis tersebut.

Pengasas SunStrong Entertainment, Jment Lim yang bertindak sebagai salah seorang pengadil pertandingan ini berkata, semua karya ini bukan sahaja menunjukkam daya kreatif dan bakat peserta, malah juga signifikan pertandingan ini, di mana dapat menyaksikan kebimbangan masyarakat akan jenayah penipuan yang berleluasa.

“Walaupun pertandingan sudah tamat, ia tidak bermakna usaha perangi penipuan juga tamat. Karya yang menang akan muncul di platform media sosial utama dan laman web syarikat supaya usaha mencegah penipuan dapat diteruskan.

“Kita mungkin tidak dapat sepenuhnya menghentikan penipuan daripada berlaku, tetapi kita boleh berusaha untuk mencegah sebanyak mungkin tragedi ini,” katanya.

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif HCVC, Wang Zhongping memuji usaha SunStrong atas inisiatif berinovatif ini yang memberi manfaat kepada masyarakat.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada Jment Lim atas sokongan kukuh dan semua pihak yang mendedikasikan diri sepanjang pertandingan ini supaya keseluruhan proses dapat berjalan lancar.

“Pada pandangan saya, semua karya yang disenarai pendek menang layak menerima anugerah. Walaupun berdepan pelbagai cabaran dari titik permulaan hingga majlis penganugerahan, ketabahan telah membawa kami sampai ke penghujung.

“Kami akan terus menggunakan filem pendek sebagai alat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai,” ujarnya.

Bagi Kategori Pelajar, hadiah pertama yang bernilai AS$5,000 (RM23,073) diberikan kepada A Forever Promise (China) yang mengisahkan graduan muda yang menjadi mangsa penipuan pekerjaan. Manakala hadiah kedua, Got Trapped (Malaysia) dan hadiah ketiga, Sink (Malaysia) dianugerahkan AS$3,000 (RM13,844) dan AS$1,500 (RM6,922) masing-masing.

Tujuh karya yang membawa pulang AS$500 (RM2,307.25) atas kemenangan Anugerah Cemerlang kategori ini ialah The Distant Job, Got Trapped, The Untouchable Sight, Catherine’s Love Story dan Anti-Fraud Operation dari Malaysia, serta The Naked Price dan If dari China.

Bagi Kategori Terbuka, Help (China) yang mengisahkan mangsa penipuan telefon, meraih hadiah pertama serta menerima AS$50,000 (RM230,725).

Hadiah kedua, Bad Days (Malaysia) memperoleh AS$20,000 (RM92,290), manakala hadiah ketiga, Scripted (Malaysia) memenangi AS$10,000 (RM46,145). Pemenang-pemenang ini dari Malaysia menzahirkan terima kasih kepada pengadil atas pengiktirafan yang akan mengalakkan mereka menghasilkan karya yang lebih baik pada masa depan.

Tujuh karya Malaysia iaitu Putih Hati, Love Chess, I’m Here For You, Susan, Money Tree, Bungkam dan Desire turut membanggakan tanah air atas kemenangan semua Anugerah Cemerlang kategori ini serta masing-masing menerima wang tunai bernilai AS$5,000 (RM23,073).

Pemenang Kategori Terbuka dapat mengemukakan cadangan filem mereka kepada SunStrong Entertainment dan berpeluang menerima geran sehingga AS$1 juta (RM4.61 juta) bagi merealisasikan impian menghasilkan filem.

Pengkarya filem Malaysia terkemuka, Chong Keat Aun yang menganggotai panel pengadil berkata, kebanyakan entri menceritakan pemerdagangan manusia, sekaligus menunjukkan ramai bimbang akan isu ini.

Ujar Chong, apabila mengisahkan sesuatu cerita dalam tempoh 10 minit, pasti ada cabarannya. Dia turut kagum dengan semua entri ini yang mengambil kira pengalaman menonton pada paparan telefon.

Seorang pengadil lain iaitu pengkarya dokumentari dan pemenang anugerah Oscar, Ruby Yang dari Amerika Syarikat berasa kagum dengan ramai karya pelajar yang guna kaedah penyampaian berita sebagai mod penceritaan serta mengajak kawan-kawan untuk berlakon kerana sumber mereka terhad.

Panel pengadil turut dianggotai Pengarah Akademi Filem Shanxi, Jia Yue dan Pengarah Leopard Change Academy, Zhang Dadou serta Dekan Kehormat Akademi Seni dan Teknologi Nanhai, Zhou Shixing.

Semua filem pendek berkenaan dapat ditonton menerusi pautan https://sseshortfilmcontest.com/Gallery


Jadikan UtusanTV ‘shortcut’ muka depan telefon anda!
Ikuti langkah ini:
Langkah 1: Layari utusantv.com
Langkah 2: Klik pada logo UtusanTV di bahagian atas skrin
Langkah 3: Klik pada 3 titik di penjuru atas kanan (atau penjuru bawah kanan) telefon anda
Langkah 4: Klik ‘Add to Homescreen’

Jangan lupa ikuti akaun media sosial kami di TikTokFacebookTwitterInstagram & Telegram

Berkaitan

“Selama ini tak pernah terfikir…,” – Iman Troye taruh kreativiti demi showcase solo

PENYANYI, Iman Troye meluahkan rasa teruja bercampur gemuruh apabila namanya dipilih sebagai antara pengisi utama bagi siri persembahan eksklusif,...

More Articles Like This